Kementerian Komunikasi sambut baik pengumuman Belanjawan 2027

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil / Foto Facebook Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kementerian Komunikasi menyambut baik pengumuman Belanjawan 2027 yang turut merangkumi pelbagai inisiatif di bawah kementerian berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengukuhan infrastruktur digital termasuk pelaksanaan JENDELA fasa dua dan projek kabel dasar laut SALAM bagi kesalinghubungan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
  • Pengiktirafan peranan Pusat Sebaran Maklumat Nasional NADI dalam membangunkan usahawan di kawasan pedalaman, desa dan luar bandar.
  • Pengecualian duti hiburan untuk tayangan filem dan persembahan teater di Wilayah Persekutuan memberi kelegaan kepada pemain industri dan penonton.

Menterinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata antara tumpuan belanjawan kali ini adalah pengukuhan infrastruktur digital dan kesalinghubungan, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta industri perfileman tempatan.

“Antaranya pengiktirafan terhadap peranan NADI termasuk dalam membangunkan usahawan di kawasan-kawasan pedalaman, desa dan luar bandar.

“Kementerian turut menerima pengiktirafan bagi pelaksanaan (Pelan Jalinan Digital Negara) JENDELA fasa dua, kepentingan membina infrastruktur digital yang lebih meluas, serta program kabel dasar laut (SALAM) yang akan menghubungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan lebih bersepadu,” katanya.

Mengenai industri perfileman tempatan, beliau berkata pengecualian duit hiburan bagi tayangan filem dan persembahan teater di Wilayah Persekutuan, memberi sedikit kelegaan kepada pemain industri dan penonton.

“Sudah pasti, ia akan memberi sedikit kelegaan bukan hanya kepada pempamer, malah penonton dalam industri berkenaan.

“Justeru, kita berharap beberapa usaha ini akan dapat dinikmati oleh kebanyakan rakyat,” katanya lagi.

Beliau ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, di sini, hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.