Sinar baharu gimnastik Romania, kelab kelahiran Comaneci terima pelaburan besar

Bekas gimnas legenda Romania, Nadia Comaneci ketika lawatan ke Onesti baru-baru ini / AFP

ONESTI, 3 Jun – Suntikan dana besar pelaburan daripada kerajaan Romania serta lawatan gimnas legenda, Nadia Comaneci kembali menyalakan sinar harapan buat Romania untuk membangkitkan semula zaman kegemilangan sukan gimnastik negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaburan kira-kira 23 juta Euro diluluskan untuk kelab gimnastik Onesti termasuk kemudahan baharu, kolam air tawar dan masin, serta muzium gimnastik.
  • Langkah itu bertujuan memulihkan reputasi selepas kemerosotan penyertaan Olimpik; perlu tingkatkan jurulatih, sokongan atlet dan fasiliti latihan.
  • Pelan pembangunan disokong oleh legenda Nadia Comaneci dan dibarisi inisiatif inspirasi termasuk laluan sejarah "The Path to Perfection".

Pelaburan bernilai kira-kira 23 juta Euro atau RM116 juta yang diluluskan untuk kelab gimnastik di bandar Onesti, lokasi yang menyaksikan Comaneci memulakan karier awal dalam sukan gimnastik.

Pelaburan tersebut merangkumi pembinaan kemudahan baharu buat gimnas, kolam renang air tawar dan air masin, serta sebuah muzium gimnastik.

Langkah itu diambil ketika negara Eropah Timur tersebut sedang bergelut untuk mengembalikan reputasi mereka dalam sukan berkenaan selepas merekodkan kemerosotan drastik apabila hanya menghantar bilangan atlet yang sangat kecil ke temasya Olimpik mutakhir ini.

Kemerosotan itu menyaksikan Romania mengalami kemarau pingat Olimpik selama 12 tahun selepas kali terakhir membawa pulang tiga pingat dari Olimpik London 2012.

Namun pingat emas terakhir bagi acara berpasukan wanita diraih kali terakhir pada 22 tahun lalu iaitu pada Olimpik 2004 di Athens.

Secara keseluruhan, bintang-bintang gimnastik terdahulu termasuk Comaneci telah menyumbang 73 pingat Olimpik buat Romania.

Namun pingat emas terakhir bagi acara berpasukan wanita diraih kali terakhir pada 22 tahun lalu iaitu pada Olimpik 2004 di Athens.

“Kami perlu mempertingkatkan kualiti jurulatih, menyokong atlet, dan menyediakan fasiliti latihan yang lebih baik.

“Melalui pengubahsuaian kompleks kelab ini, kami akan dapat menyediakan semua keperluan tersebut,” kata Pengarah Kelab, Ingrid Istrate kepada AFP.

Ujarnya, walaupun ia mungkin mengambil masa beberapa tahun memandangkan Romania merupakan antara negara yang menghadapi kekangan dana bagi fasiliti sukan dalam Kesatuan Eropah (EU), usaha itu diharap mampu membawa kepada penemuan ‘Nadia Comaneci’ yang baharu.

Comaneci, yang berada di bandar ini sempena sambutan ulang tahun ke-50 pencapaian bersejarahnya meraih mata sempurna ‘Perfect 10’ pertama di Olimpik Montreal 1976, turut menyatakan komitmennya untuk sentiasa menyokong pembangunan sukan di Onesti.

“Onesti mempunyai banyak potensi untuk ditawarkan, dan kami berjanji akan sentiasa kembali ke sini,” kata Comaneci yang hadir ke kampung halamannya itu bersama suaminya yang juga bekas gimnas Amerika Syarikat, Bart Conner.

Selain pengumuman dana, lawatan itu turut diserikan dengan sesi perjumpaan semula bersama ahli pasukannya dari Olimpik 1976, serta pelancaran laluan imbasan sejarah sepanjang 15 minit yang dinamakan “The Path to Perfection” (Laluan ke Arah Kesempurnaan) buat inspirasi gimnas muda tempatan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.