
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Pelaksanaan Skim LINDUNG 24 Jam merupakan langkah signifikan dalam memperkukuh sistem perlindungan sosial pekerja.
- Peluasan perlindungan mengurangkan jurang keselamatan sosial dan memberi jaringan keselamatan lebih komprehensif kepada pekerja.
- Skim memberi manfaat ketara kepada golongan B40, M40, OKU dan pekerja muda tanpa perlindungan insurans peribadi mencukupi.
- Perlindungan sosial lebih baik menjadikan pekerja lebih fokus, bermotivasi dan produktif, memberikan manfaat kepada majikan dan sektor perniagaan.
Penganalisis Korporat dan Perniagaan, Mohamad Faisal Abdul Malik berpendapat, peluasan perlindungan dapat mengurangkan jurang perlindungan sosial, sekali gus memberi jaringan keselamatan lebih menyeluruh kepada pekerja.
“Skim berkenaan selari dengan amalan negara-negara maju yang mengambil kira kebarangkalian atau kemungkinan berlakunya kemalangan ketika atau luar waktu kerja.
“Realitinya risiko kemalangan tidak mengenal tempoh. Peluasan perlindungan membolehkan pekerja memperoleh jaringan keselamatan yang lebih komprehensif,” katanya.
Skim itu memberi manfaat besar kepada golongan B40, M40, OKU serta pekerja muda yang kebanyakannya tidak mempunyai perlindungan insurans peribadi yang mencukupi.
Ini kerana kesan kemalangan bukan sahaja melibatkan kos rawatan, malah kehilangan pendapatan, kos pemulihan, perbelanjaan keluarga serta komitmen bulanan.
Manfaat turut diperoleh majikan dan sektor perniagaan secara keseluruhan.
Pekerja yang mempunyai perlindungan sosial lebih baik dilihat cenderung untuk lebih fokus, bermotivasi dan produktif.