
KUALA LUMPUR 27 Julai – Kerajaan membelanjakan kira-kira RM3.1 bilion bagi menampung rebat bil elektrik menerusi mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA), sekali gus membolehkan pengguna menikmati potongan antara tujuh hingga 10 peratus sejak Julai tahun lalu.
- AFA menggantikan ICPT, memberi gambaran lebih telus mengenai kos sebenar penjanaan elektrik berdasarkan harga bahan api global.
- Pengguna menerima rebat berterusan Julai 2025 hingga April 2026; potongan tertinggi November 2025 8.9 sen/kWj.
- Ketegangan geopolitik dan konflik Asia Barat sejak Februari 2026 menaikkan harga bahan api, meningkatkan kos penjanaan elektrik negara.
- Kerajaan salurkan bantuan RM384 juta Mei hingga Julai 2026 supaya kebanyakan pengguna domestik dikecualikan daripada surcaj walaupun kos meningkat.
Ketua Pegawai Strategi, Kawal Selia dan Kelestarian Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Muhammad Nazri Pazil berkata, pelaksanaan AFA yang menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) memberi gambaran lebih telus terhadap kos sebenar penjanaan elektrik berdasarkan pergerakan harga bahan api di pasaran global.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif terbitan RTM yang disiarkan di TV1.
Katanya, sepanjang tempoh Julai 2025 hingga April 2026, pengguna menerima rebat secara berterusan dengan potongan tertinggi direkodkan pada November 2025, iaitu 8.9 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj).
Bagaimanapun, beliau berkata, ketegangan geopolitik dan konflik di Asia Barat yang memuncak sejak Februari 2026 menyebabkan harga bahan api utama dunia meningkat, sekali gus menaikkan kos penjanaan elektrik di negara ini.
Perkembangan itu menyebabkan pelaksanaan AFA beralih daripada pemberian rebat kepada surcaj bermula Mei 2026 dan trend tersebut dijangka berterusan sekiranya harga bahan api global kekal tinggi.
Bagi mengurangkan kesan kenaikan kos kepada pengguna, kerajaan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM384 juta bagi tempoh Mei hingga Julai 2026.
Menurut beliau, langkah itu membolehkan sebahagian besar pengguna domestik terus dikecualikan daripada dikenakan surcaj meskipun kos penjanaan elektrik meningkat.