
SEREMBAN, 27 Julai – Semua pihak diingatkan supaya tidak memainkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
- Hormati peringatan Istana Negeri Sembilan demi kempen yang harmoni dan berhemah.
- Barisan Nasional tidak menggunakan isu kaum, agama atau institusi diraja sebagai bahan kempen.
- Institusi Raja-Raja dan Undang Yang Empat mesti dipertahankan serta dihormati oleh semua pihak.
- Semua parti diminta berkempen secara matang, mematuhi peraturan dan mengelakkan isu yang mencetus ketegangan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peringatan yang dizahirkan Istana Negeri Sembilan itu wajar dihormati demi memastikan kempen berlangsung secara harmoni dan berhemah.
Malah, Barisan Nasional (BN) sendiri tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai bahan kempen.
“Kami berpegang bahawa institusi Raja-Raja mesti dipertahankan. Dalam konteks Negeri Sembilan, institusi Undang Yang Empat juga harus dipertahankan dan kami tidak pernah menyentuh (perkara itu).
“Kami menghormati institusi berkenaan dan saya ingin ingatkan mana-mana pihak (agar tidak) menyentuh mengenai perkara itu. Itu adalah merupakan satu ingatan yang baik oleh pihak istana,” kata beliau.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Himpunan Usahawan Bumiputera di D’ Tempat di sini, hari ini. .
Beliau turut berharap semua parti yang bertanding terus berkempen secara matang dengan mematuhi peraturan serta mengelakkan sebarang isu yang
boleh mencetuskan ketegangan sepanjang proses demokrasi berlangsung.