AMRO naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9% bagi 2026

Ketua Kumpulan dan Pakar Ekonomi Utama AMRO Allen Ng/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) menyemak naik pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9 peratus bagi 2026, berbanding unjuran awal 4.6 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semakan naik disokong prestasi separuh pertama yang lebih kukuh daripada jangkaan, didorong peningkatan eksport dan pelaburan.
  • Permintaan global terhadap produk AI dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan dan menyokong eksport sektor elektrik dan elektronik.
  • Pelaburan berterusan dalam pusat data serta pemulihan pengeluaran minyak dan gas menyumbang kepada asas pertumbuhan.
  • AMRO mengekalkan prospek positif; pertumbuhan lebih sederhana pada separuh kedua khususnya dalam pembuatan berorientasi pasaran domestik.

Ketua Kumpulan dan Pakar Ekonomi Utamanya, Allen Ng berkata, semakan semula itu disokong prestasi ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan bagi separuh pertama tahun ini, didorong peningkatan eksport dan pelaburan.

Jelasnya, momentum pertumbuhan positif diunjur akan berterusan hingga penghujung tahun ini disokong permintaan global terhadap produk kecerdasan buatan (AI).

“Kami menaikkan unjuran pertumbuhan bagi baki 2026 berikutan kekuatan berterusan eksport yang dipacu AI, di samping pelaburan berterusan dalam pusat data serta pemulihan pengeluaran minyak dan gas (O&G) di Malaysia.

“Kami juga menjangkakan pertumbuhan ekonomi akan berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada separuh kedua tahun ini, khususnya dalam sektor pembuatan yang tertumpu kepada pasaran domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat Media AMRO secara dalam talian bertajuk “Kemas Kini Suku Tahunan Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3” di sini hari ini.

Menurutnya, sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang dipacu eksport dijangka kekal mencatat prestasi kukuh.

Secara keseluruhan, pihaknya mengekalkan prospek ekonomi Malaysia sebagai positif, disokong daya tahan sektor eksport serta momentum pelaburan yang berterusan.

Pada masa sama, unjuran pertumbuhan ekonomi rantau ASEAN+3 bagi 2026 turut disemak naik kepada 4.1 peratus berbanding 4.0 peratus sebelum ini manakala inflasi dijangka lebih rendah pada 1.6 peratus.

Prospek yang lebih baik itu didorong permintaan global yang terus kukuh terhadap semikonduktor dan produk berkaitan AI, selain permintaan domestik yang kekal berdaya tahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.