1.6 bilion e-Invois dikemukakan sehingga Fasa 4

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin

KUALA LUMPUR, 27 Julai Sebanyak 1.6 bilion e-Invois telah dikemukakan oleh lebih 248,000 pembayar cukai menerusi pelaksanaan sistem e-Invois bagi Fasa 1 hingga Fasa 4.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan e-Invois menunjukkan penerimaan baik dan membantu mendigitalkan proses percukaian serta mengenal pasti ketidakpatuhan melalui data analitik.
  • Berdasarkan data e-Invois, LHDN membangkitkan taksiran cukai bernilai RM1 bilion daripada RM4 bilion pendapatan tidak dilaporkan.
  • Seramai 52,540 pembayar cukai tampil sukarela mengemukakan BNCP bagi tahun terdahulu, melibatkan RM4.07 bilion pendapatan dan RM1.009 bilion cukai.
  • Pertemuan LHDN dengan RTM membincangkan kerjasama strategik bagi memperkukuh penyampaian maklumat dan kesedaran mengenai e-Invois kepada rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, pelaksanaan e-Invois menunjukkan perkembangan memberangsangkan dan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan peneraju industri.

Menurut beliau, pelaksanaannya bukan hanya bertujuan mendigitalkan proses percukaian, malah menjadi mekanisme penting untuk mengenal pasti ketidakpatuhan cukai berdasarkan data analitik.

“Kita telah melaksanakan tindakan semakan kepada pembayar cukai berdasarkan data e-Invois yang telah diterima. Setakat ini, kita telah berjaya membangkitkan taksiran cukai bernilai RM1 bilion melibatkan RM4 bilion pendapatan yang tidak dilaporkan.

“Ini adalah hasil daripada tindakan kita mendekati pembayar cukai yang gagal patuh dan mereka telah hadir secara sukarela untuk melaporkan pendapatan,” katanya.

Datuk Dr Abu Tariq berkata demikian ketika ditemui Berita RTM selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail di Angkasapuri Kota Media, hari ini.

Menurut beliau menerusi data analitik, LHDN berupaya mengenal pasti corak tingkah laku luar kebiasaan atau corak transaksi kewangan yang aktif; tetapi tidak sepadan dengan rekod percukaian sedia ada.

Hasil pendekatan berkenaan, seramai 52,540 pembayar cukai tampil secara sukarela mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun taksiran terdahulu, melibatkan jumlah pendapatan sebanyak RM4.07 bilion dan cukai kena dibayar berjumlah RM1.009 bilion.

Dalam perkembangan lain, Datuk Dr Abu Tariq memaklumkan pertemuan dan kunjungan hormat yang diadakan pada hari ini menjadi platform membincangkan potensi kerjasama strategik antara LHDN dengan RTM bagi memperkukuh penyampaian maklumat kepada rakyat.

“Dalam kunjungan ini, kami telah membincangkan inisiatif-inisiatif yang boleh diadakan antara kedua-dua agensi untuk kebaikan bersamam antaranya dengan memberi fokus kepada inisiatif utama hasil bagi tahun ini, iaitu e-Invois.

“Kita percaya bahawa RTM merupakan rakan strategik hasil yang dapat membantu untuk meningkatkan penyampaian mesej kepada rakyat berhubung dengan pelaksanaan e-Invois ini,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.