
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Insurans, saham dan emas merupakan produk kewangan paling popular dalam kalangan pelabur mewah dan individu bernilai bersih tinggi di Malaysia, menurut tinjauan HSBC Affluent Investor Snapshot.
- Tinjauan melibatkan hampir 10,000 pelabur mewah di 10 pasaran, termasuk Malaysia.
- Pelabur merancang meningkatkan pemilikan emas, deposit tetap dan aset alternatif dalam 12 bulan akan datang.
- Matlamat kewangan utama: menambah kekayaan untuk menampung inflasi, memelihara dan melindungi kekayaan serta persediaan persaraan.
- Pelabur Malaysia lebih aktif menyusun semula peruntukan aset; 16 peratus merancang kurangkan tunai, melampaui purata global.
Tinjauan tersebut melibatkan hampir 10,000 pelabur mewah dan individu bernilai bersih tinggi di 10 pasaran termasuk Malaysia.
Menerusi tinjauan itu, 48 peratus responden memiliki produk insurans, diikuti saham (44 peratus) dan emas (43 peratus), mencerminkan kecenderungan pelabur untuk mengekalkan portfolio yang seimbang antara perlindungan kewangan dan pertumbuhan aset.
Ketua Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Malaysia, Linda Yip berkata, pelabur turut merancang untuk meningkatkan pemilikan emas, deposit tetap dan aset alternatif dalam tempoh 12 bulan akan datang.
“Walaupun portfolio pelaburan masih berpaksikan instrumen tradisional seperti insurans dan saham, pelabur kini semakin terbuka untuk mempelbagaikan pegangan melalui pelaburan alternatif, di samping mengekalkan aset seperti emas dan deposit tetap.
“Ini menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap aset yang mampu menawarkan kestabilan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, di Malaysia pelabur mewah dan individu bernilai bersih tinggi memberi tumpuan kepada tiga matlamat kewangan utama iaitu meningkatkan kekayaan bagi mengimbangi kesan inflasi, memelihara dan melindungi kekayaan serta membuat persediaan untuk persaraan.
Bagi mencapai matlamat tersebut, mereka turut menyusun semula peruntukan aset dengan lebih aktif berbanding rakan setara di peringkat global.
Sebanyak 16 peratus responden di Malaysia merancang mengurangkan pegangan tunai dalam tempoh 12 bulan akan datang, lebih tinggi berbanding purata global sebanyak 12 peratus, selain mengatasi Taiwan (9 peratus) dan Singapura (13 peratus).
“Kesimpulannya, kumpulan ini bukan lagi mengambil pendekatan sama ada mengelak atau meningkatkan risiko, sebaliknya bersedia untuk bertindak mengikut keadaan pasaran,” katanya.