Selaras komunikasi pengurusan bencana udara, elak arahan bercanggah ketika krisis

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap ketika merasmikan Majlis Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026: Bengkel Pengurusan Bencana Udara di Sepang/Foto BERNAMA

SEPANG, 27 Julai – Semua agensi yang terbabit dalam pengurusan bencana udara perlu mempunyai satu sistem seragam bagi menyelaras komunikasi dan perkongsian maklumat supaya pertindihan arahan dan kekeliruan ketika berdepan situasi krisis dapat dielakkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem seragam untuk menyelaras komunikasi dan perkongsian maklumat bagi mengelakkan pertindihan arahan dan kekeliruan semasa krisis.
  • Perjelaskan rantaian arahan dan kuasa membuat keputusan supaya arahan dilaksanakan pantas, tepat dan berkesan.
  • Perkukuh komunikasi bersepadu dan perkongsian maklumat antara agensi termasuk aspek pemerintahan, kawalan dan penyelarasan C4.
  • Luaskan latihan berasaskan senario sebenar dan percepatkan pendigitalan pengurusan bencana untuk tingkatkan kecekapan operasi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, setiap agensi perlu bergerak sebagai satu pasukan dengan rantaian arahan yang jelas kerana kelewatan atau maklumat yang bercanggah boleh menjejaskan keseluruhan operasi menyelamat.

“Kita tidak boleh bekerja secara berasingan atau ‘in-silo’. Sebaliknya, apabila berlaku krisis, semua agensi perlu bertindak sebagai satu pasukan nasional dengan matlamat yang jelas iaitu menyelamatkan nyawa dan mengawal keadaan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Majlis Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026: Bengkel Pengurusan Bencana Udara, di sini, hari ini.

Menurut beliau, komunikasi yang tidak jelas serta arahan yang bertindih hanya akan mengundang kekeliruan ketika setiap saat amat kritikal.

Bagi memperkukuh pengurusan bencana udara negara, beliau turut menggariskan empat langkah utama, iaitu memperjelaskan rantaian arahan dan kuasa membuat keputusan, memperkukuh perkongsian maklumat serta komunikasi bersepadu, memperluaskan latihan berasaskan senario sebenar dan mempercepatkan pendigitalan pengurusan bencana.

Beliau turut mengarahkan semua dapatan bengkel berserta pelan tindakan lengkap diserahkan ke pejabatnya dalam tempoh dua minggu bagi membolehkan setiap kelemahan dikenal pasti dan tindakan penambahbaikan dilaksanakan.

Beliau yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menambah, aspek pemerintahan, kawalan, penyelarasan dan komunikasi (C4) perlu bergerak seiring tanpa sebarang kompromi.

Apabila elemen itu berfungsi dengan baik, setiap arahan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tepat dan berkesan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.