
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Resolusi berkaitan penyelarasan proses penerimaan masuk peguam syarie bagi tujuan beramal di negeri-negeri akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI), sebagai langkah mewujudkan standard lebih seragam di seluruh negara.
- Resolusi penyelarasan proses penerimaan peguam syarie akan dibawa ke Mesyuarat MKI untuk mewujudkan standard seragam di seluruh negara.
- Cadangan itu boleh diperhalus jika dipersetujui di peringkat MKI sebelum tindakan lanjut termasuk rujukan kepada pihak berkenaan.
- Konvensyen Profesyen Peguam Syarie menjadi platform strategik menghimpunkan MAIN, PGSM dan MPSW bagi membincangkan hala tuju penyelarasan.
- Kerajaan menyambut baik usaha penyelarasan untuk memperkukuh profesion dan memantapkan sistem keadilan syariah secara berhemah dan inklusif.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, sekiranya dipersetujui di peringkat MKI, cadangan itu boleh diperhalus untuk tindakan lanjut.
“Pada 27 Jun 2026, Konvensyen Profesyen Peguam Syarie 2026 telah diadakan sebagai platform strategik yang menghimpunkan pihak-pihak berkepentingan, seperti Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan (MPSW) bagi membincangkan hala tuju penyelarasan profesion guaman syarie secara lebih menyeluruh.
“Hasil resolusi konvensyen tersebut akan dimaklumkan dalam mesyuarat MKI yang akan datang untuk pertimbangan lanjut. Sekiranya dipersetujui di peringkat MKI, perkara ini boleh diperhalus untuk tindakan seterusnya, termasuk jika perlu diangkat bagi mendapat pertimbangan dan perkenan Majlis Raja-Raja,” katanya di Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin berhubung pendirian kerajaan mengenai cadangan penyeragaman proses penerimaan masuk peguam syarie bagi tujuan beramal di negeri-negeri.
Menurut Marhamah, kerajaan pada prinsipnya menyambut baik cadangan menyelaras proses penerimaan masuk peguam syarie bagi memperkukuh profesion itu dan memantapkan sistem keadilan syariah negara.
Usaha penyelarasan akan dilaksanakan secara berhemah dan inklusif dengan menghormati bidang kuasa negeri, serta kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.