
GEMAS, 27 Julai – Malaysia bakal menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain dalam tempoh dua bulan akan datang tanpa perlu menanggung yuran penganjuran yang lazimnya mencecah ratusan juta ringgit.
- Kerajaan hanya membiayai kerja menaik taraf Litar Antarabangsa Sepang, kos dianggarkan antara RM11 juta hingga RM16 juta.
- Persekutuan Automobil Antarabangsa memansuhkan bayaran awal USD1 juta, membolehkan Malaysia menganjurkan acara tanpa yuran awal.
- Penganjuran dijangka memberi limpahan manfaat kepada pelancongan, ekonomi dan mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara aman dan berkeupayaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan hanya perlu membiayai kerja menaik taraf Litar Antarabangsa Sepang bagi memenuhi spesifikasi yang ditetapkan, dengan kos dianggarkan antara RM11 juta hingga RM16 juta.
Beliau berkata, keputusan memilih Malaysia dibuat selepas penganjur mengambil kira aspek keselamatan, kestabilan politik, kecekapan pengurusan serta kemudahan infrastruktur negara.
Menurutnya, situasi geopolitik semasa yang menjejaskan lokasi asal penganjuran turut membuka peluang kepada Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij itu.
Jelas beliau, pihak Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) juga bersetuju memansuhkan bayaran awal penganjuran bernilai USD1 juta dan membolehkan Malaysia melaksanakan acara itu secara percuma.
“Semalam dia (FIA) telefon dan memaklumkan bayaran awal yang perlu dibayar kepada Formula One Management telah dikecualikan. Jadi kita menganjurkannya secara percuma. Walaupun ada sedikit perbelanjaan untuk menaik taraf litar, ia adalah penambahbaikan yang akan terus dimanfaatkan bagi perlumbaan F1, MotoGP dan acara lain.
Saya jangkakan kosnya sekitar RM11 juta hingga RM16 juta. Negara lain perlu membelanjakan ratusan juta ringgit, malah ada yang mencecah lebih RM1 bilion untuk menjadi tuan rumah, tetapi kita hanya diminta membelanjakan sekitar RM16 juta untuk menjadi tumpuan dunia,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Program Semarak Kenegaraan Bersama Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Garison, Kem Syed Sirajuddin, di sini, hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata, penganjuran perlumbaan itu dijangka memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi negara apabila ribuan jurutera, pasukan perlumbaan serta peminat Formula 1 dari seluruh dunia hadir ke Malaysia.
Beliau berkata, kejayaan membawa Formula 1 kembali ke Sepang turut mengukuhkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan berkeupayaan menganjurkan acara sukan bertaraf dunia.
Semalam dilaporkan Malaysia bersedia menyambut kepulangan perlumbaan F1 ke Litar Antarabangsa Sepang selepas sembilan tahun, apabila bakal menjadi tuan rumah GP F1 Bahrain dari 2 hingga 4 Okt depan.
SIC menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan dari kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan.