
GLASGOW, 27 Julai – Hanya 0.133 mata memisahkan atlet gimnastik artistik negara Rachel Yeoh daripada membawa pulang pingat gangsa acara palang bertingkat wanita akhir di Sukan Komanwel Glasgow 2026 hari ini.
- Rachel menampilkan rutin kemas, mengumpul 13.533 mata dan menamatkan saingan di tempat keempat, menunjukkan kekecewaan mendalam.
- Kedudukan podium: Kate McDonald emas, Elsabeth Black perak, Emily Roper gangsa; Rachel terlepas peluang sejarah buat atlet wanita Malaysia.
- Kekecewaan menguatkan azam Rachel; dia berjanji tingkatkan nilai kesukaran rutin kepada 6.3 untuk Sukan Asia dan kejohanan akan datang.
Dalam aksi berlangsung di Glasgow International Arena di sini, Rachel menampilkan rutin kemas untuk mengumpul 13.533 mata, namun terpaksa akur menamatkan saingan di tempat keempat yang meninggalkan luka besar dalam hatinya.
Pingat gangsa menjadi milik gimnas Wales Emily Roper yang mencatat 13.666 mata, manakala wakil Australia Kate McDonald meraih emas dengan 14.333 mata dan gimnas Kanada Elsabeth Black membawa pulang perak selepas mengumpul 13.900 mata.
Rachel yang menduduki tempat ketiga dalam pusingan kelayakan dengan 13.800 mata, ternyata sukar menyembunyikan kekecewaan apabila peluang menaiki podium terlepas dalam perbezaan tipis.
“Bagi saya, sayang sebab kurang sikit, memang sangat-sangat sikit, 0.1 dan macam itu saja pingat (gangsa) terlepas tapi saya sudah berikan yang terbaik hari ini. Cuma kali ini tiada rezeki,” katanya sambil mengalirkan air mata ketika ditemui Bernama.
Ketika ditanya perkara yang bermain dalam fikirannya sepanjang rutin tersebut, atlet berusia 27 tahun itu berkata beliau hanya mahu memberikan segala-galanya demi negara dan dirinya sendiri.
“Bagi saya tadi, saya fikir buat saja. Untuk Malaysia, untuk diri sendiri, dan saya sudah buat siap sedia. Tapi, memang masa yang… sangat-sangat sayang,” katanya.
Bagaimanapun, Rachel enggan membiarkan kekecewaan di Glasgow menjadi noktah perjuangannya.
Sebaliknya, keputusan hari ini membakar semangat beliau untuk meningkatkan nilai kesukaran rutin menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September depan.
“Balik nanti memang tidak kira macam mana pun saya nak naikkan tahap kesukaran. 6.3 itu memang wajib buat. Untuk Sukan Asia, untuk kejohanan akan datang …Saya mahu tebus kekalahan hari ini,” katanya.
Keputusan hari ini turut menyaksikan Rachel terlepas peluang mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama negara meraih pingat gimnastik artistik di pentas Sukan Komanwel.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam gimnastik artistik di temasya itu adalah menerusi Ng Shu Wai, yang meraih perak acara senaman lantai lelaki pada edisi 2006 di Melbourne.
Shu Wai, yang kini bergelar jurulatih kebangsaan, turut memenangi perak dalam acara sama pada Manchester 2002.- BERNAMA