PETRONAS perjelas peranan, tiada kuasa urus jualan tiket F1 di Sepang

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dipilih sebagai lokasi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix pada Oktober ini./ Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menjelaskan bahawa syarikat itu hanya memegang hak penamaan PETRONAS Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan tidak terlibat dalam pengurusan, kawalan atau pengagihan tiket bagi perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Sepang yang dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Litar dimiliki oleh Sepang International Circuit Sdn. Bhd. di bawah MOF Inc., operasi dikendalikan agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
  • Perlumbaan di Sepang mengekalkan nama Bahrain Grand Prix menurut persetujuan antara Formula 1, Bahrain dan Malaysia.
  • Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1 Stefano Domenicali menyifatkan kembalinya ke Sepang sebagai bukti daya penyesuaian kalendar dan pengiktirafan litar ikonik.

Menurut kenyataan media PETRONAS, litar berkenaan dimiliki oleh Sepang International Circuit Sdn. Bhd., sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.), manakala operasinya dikendalikan oleh sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

PETRONAS berkata, walaupun syarikat itu memiliki hak penamaan litar, ia bukan penganjur perlumbaan dan tidak mempunyai sebarang akses atau kuasa terhadap peruntukan, penjualan mahupun pengedaran tiket.

“Jualan tiket diuruskan sepenuhnya oleh penganjur acara menerusi saluran rasmi yang diberi kuasa,” menurut kenyataan itu.

PETRONAS turut menghargai sambutan dan keterujaan orang ramai terhadap kembalinya perlumbaan Formula 1 ke Sepang selepas hampir sedekad.

Formula 1 sebelum ini mengesahkan Sepang akan kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 buat pertama kali sejak 2017 apabila dipilih sebagai lokasi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia.

Perlumbaan itu dijadual berlangsung pada 4 Oktober, dengan acara sepanjang hujung minggu bermula 2 Oktober.

Perlumbaan berkenaan menggantikan pusingan asal Bahrain yang terpaksa dijadual semula susulan konflik di Asia Barat.

Walaupun berlangsung di Malaysia, perlumbaan itu masih mengekalkan nama Bahrain Grand Prix sebagai sebahagian daripada persetujuan antara Formula 1, Bahrain dan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali, sebelum ini menyifatkan kembalinya ke Sepang sebagai bukti kemampuan sukan itu menyesuaikan kalendar perlumbaan, selain mengiktiraf Sepang sebagai antara litar ikonik dalam sejarah Formula 1.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.