
KUALA LUMPUR, 30 Mei – ENERtec Asia 2026 menjalin kerjasama strategik dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi memperkukuh pembangunan tenaga boleh baharu dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
- Menarik pelaburan bernilai tinggi dalam AI, pusat data, pengkomputeran awan dan pembuatan maju, menjangka meningkatkan permintaan tenaga negara.
- Kerjasama mencerminkan transformasi industri Malaysia kepada teknologi hijau dan tenaga mampan.
- Penggunaan AI dalam infrastruktur tenaga dapat mempercepat usaha mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih.
- Acara di KLCC, 3-5 Jun 2026, menghimpunkan lebih 12,000 profesional, fokus kepada AI, tenaga boleh baharu dan kestabilan BESS.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, kerjasama itu bagi menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor kecerdasan buatan, AI, pusat data, pengkomputeran awan dan pembuatan maju yang dijangka meningkatkan permintaan tenaga negara.
“Kerjasama berkenaan mencerminkan hala tuju transformasi industri Malaysia yang semakin memberi tumpuan kepada teknologi hijau dan tenaga mampan.
“Penggunaan AI dalam infrastruktur tenaga mampu mempercepat usaha negara mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih,” katanya menerusi kenyataan.
Dijangka berlangsung dari 3 hingga 5 Jun 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),
ENERtec Asia 2026 akan diadakan serentak dengan Persidangan Peralihan Tenaga 2026 yang dianjurkan oleh Tenaga Nasional Berhad.
Acara itu dijangka menghimpunkan lebih 12,000 profesional industri dari 60 negara dan wilayah serta penyertaan 1,000 syarikat dan jenama global.
Antara fokus utama acara termasuk penggunaan AI bagi meningkatkan kecekapan grid tenaga serta penyelesaian tenaga boleh baharu dan BESS bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik negara.