
KUALA LUMPUR, 30 Mei – PROTON bakal memulakan pemasangan tempatan Proton e.MAS 5 di kilang Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) di Automotive High-Tech Valley, Tanjong Malim.
- Permintaan tinggi mendorong pelan perluasan kapasiti dengan pelaburan sekitar RM37 juta.
- Fasiliti menggunakan teknologi robotik moden, pengurusan pengeluaran berasaskan awan dan Industrial Internet of Things.
- Rangkaian NEV Proton jual 11,617 unit Januari–April, peningkatan 329 peratus berbanding tahun lalu.
- Proton e.MAS 5 catat 8,472 penghantaran dalam empat bulan pertama 2026 dan menjadi model EV paling laris.
Menurut PROTON, langkah itu dibuat susulan permintaan memberangsangkan terhadap rangkaian Proton e.MAS, selain usaha syarikat meningkatkan kapasiti pengeluaran kenderaan elektrik (EV) tempatan.
Pelan perluasan kapasiti yang dijangka melibatkan pelaburan sebanyak RM37 juta itu dilaksanakan kurang setahun selepas fasiliti berkenaan mula beroperasi.
“Ketika ini, kilang yang dibangunkan menerusi pelaburan RM82 juta itu menggunakan teknologi robotik moden, sistem pengurusan pengeluaran berasaskan awan serta Industrial Internet of Things.
“Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, rangkaian NEV PROTON mencatat jualan 11,617 unit, meningkat 329 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Proton e.MAS 5 pula merekodkan 8,472 unit penghantaran dalam empat bulan pertama 2026, sekali gus muncul sebagai model EV paling laris di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Sementara menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa, pengembangan itu mencerminkan keyakinan pengguna terhadap produk syarikat serta komitmen syarikat itu dalam memperkukuh ekosistem EV negara.