Krisis global: PMKS perlu akses pembiayaan lebih mudah, kos lebih rendah

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Usaha berterusan perlu dipertingkat bagi mengurangkan kos pembiayaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), di samping membantu perusahaan yang kurang mendapat liputan sistem kewangan arus perdana memperoleh akses kepada pembiayaan dan modal kerja.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ramai PMKS masih sukar mendapat pembiayaan akibat rekod kredit terhad dan kos pembiayaan yang tinggi.
  • CGC ditagih merapatkan jurang pembiayaan melalui skim jaminan, khidmat nasihat, kemudahan pembiayaan dan latihan.
  • KUSKOP dan SME Corp digesa memperkukuh kerjasama dengan CGC serta meningkatkan hebahan saluran dan bantuan pembiayaan kepada PMKS.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, perkara itu penting ketika negara berdepan krisis bekalan global susulan ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi akibat konflik di Asia Barat yang meningkatkan kos operasi PMKS.

“Ramai PMKS, khususnya perusahaan mikro dan kecil masih menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan, terutamanya disebabkan rekod kredit yang terhad serta kos pembiayaan yang tinggi.

“KUSKOP mengalu-alukan peranan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dalam membantu merapatkan jurang pembiayaan ini menerusi skim jaminan, khidmat nasihat kewangan dan inisiatif pemudah cara pembiayaan,” katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama CGC.

Dalam mesyuarat itu, CGC turut membentangkan beberapa inisiatif termasuk skim jaminan kredit, kemudahan pembiayaan, latihan pemasaran digital, program pembangunan usahawan belia serta sesi jaringan PMKS di seluruh negara.

Steven Sim turut meminta agensi bawah KUSKOP khususnya SME Corp. Malaysia supaya memperkukuh kerjasama dengan CGC serta meningkatkan hebahan berkaitan maklumat pembiayaan, bantuan dan saluran pembiayaan yang bersesuaian kepada PMKS.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.