
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Malaysia menegaskan semula komitmennya terhadap sistem perdagangan global terbuka, telus, boleh dijangka, selain perdagangan pelbagai hala berteraskan peraturan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di China.
- Perjanjian perdagangan serantau dan global perlu melengkapi serta memperkukuh rangka Pertubuhan Perdagangan Dunia.
- Perkukuh kerjasama keselamatan tenaga dan bina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan selepas gangguan global.
- Pastikan pendigitalan, penggunaan AI dan peralihan hijau praktikal, inklusif dan mudah diakses bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
- Sokongan melalui kebolehoperasian lebih baik, pembangunan kapasiti dan pelaksanaan dipermudah untuk manfaat perniagaan dan pelaburan serantau.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi kenyataan memaklumkan, Malaysia juga menekankan bahawa perjanjian perdagangan peringkat serantau dan global perlu melengkapi serta memperkukuh kerangka Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
”Pada masa sama, kerjasama dalam keselamatan tenaga juga perlu diperkukuh selain membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan susulan gangguan global yang berterusan.
”Malaysia turut menegaskan kepentingan memastikan manfaat pendigitalan, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan peralihan hijau kekal praktikal, inklusif serta mudah diakses, khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
”Usaha ini akan disokong melalui kebolehoperasian yang lebih baik, pembangunan kapasiti dan pelaksanaan yang dipermudah,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan anggota APEC bagi memastikan integrasi ekonomi serantau, transformasi digital, inisiatif kelestarian, keselamatan tenaga dan kerjasama rantaian bekalan menghasilkan manfaat praktikal yang berorientasikan perniagaan untuk rantau Asia-Pasifik.
Beliau mengetuai delegasi Malaysia bagi mesyuarat MRT APEC yang bertemakan “Membina Komuniti Asia Pasifik untuk Kemakmuran Bersama” dan diadakan di Suzhou, China dari 22 hingga 23 Mei lalu.
Datuk Seri Johari turut mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawat dari China, Amerika Syarikat, New Zealand, Australia, Korea Selatan, Jepun dan Singapura bagi memperkukuh perkongsian ekonomi strategik.
Kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi global, termasuk kerjasama melalui platform seperti APEC dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
”Sesi perbincangan itu memberi fokus kepada usaha memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan, meningkatkan kerjasama dalam sektor strategik termasuk keselamatan tenaga dan rantaian bekalan berdaya tahan, serta memperkukuh keyakinan pelabur dan daya tahan ekonomi serantau.
”Datuk Seri Johari turut mengadakan libat urus dengan Gabungan Perniagaan AS-APEC serta beberapa syarikat yang mempunyai pelaburan dan operasi di Malaysia dengan bertukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi semasa,” tambah kenyataan itu.
Malaysia kekal komited untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau dan memastikan rantau Asia-Pasifik terus terbuka, berdaya tahan serta kondusif kepada pertumbuhan perdagangan dan pelaburan yang mampan.