Pengurangan cukai individu, ringankan beban kewangan, rancak perbelanjaan domestik

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Pengurangan kadar cukai pendapatan individu yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dijangka meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, sekali gus membantu meringankan beban kewangan, khususnya dalam kalangan golongan pertengahan (M40).

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah memberi lebih ruang pengurusan perbelanjaan harian dan berpotensi merancakkan aktiviti perbelanjaan domestik.
  • Peluasan skop pelepasan cukai termasuk kos penjagaan ibu bapa, datuk nenek dan pembelian kasut sukan.
  • Pembayar yang mencarum Lindung 24 (PERKESO) layak pelepasan cukai sehingga RM150, sekali gus mengurangkan beban kewangan.
  • Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 menambah pendapatan boleh guna; Belanjawan seimbang antara kesejahteraan rakyat dan keperluan perniagaan.

Perunding cukai, Liew Tzen Hsiung berkata, langkah itu memberi lebih ruang kepada pembayar cukai untuk mengurus perbelanjaan harian, selain berpotensi merancakkan aktiviti perbelanjaan domestik.

Menurutnya, manfaat itu turut diperkukuh menerusi peluasan skop pelepasan cukai yang membolehkan pembayar cukai menuntut pelepasan bagi perbelanjaan tertentu, termasuk kos penjagaan ibu bapa dan datuk nenek serta pembelian kasut sukan.

“Peningkatan pendapatan boleh guna membolehkan rakyat meningkatkan perbelanjaan harian, termasuk membeli barangan keperluan, selain memanfaatkan pelepasan cukai yang disediakan.

“Manfaat pengurangan cukai itu bukan sahaja dinikmati golongan M40, malah turut memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

“Pembayar cukai yang mencarum dalam Lindung 24 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga boleh menikmati pelepasan cukai sehingga RM150, sekali gus mengurangkan beban kewangan mereka,” katanya ketika ditemui RTM.

Dalam pada itu, peningkatan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 turut dilihat sebagai langkah yang dapat menambah pendapatan boleh guna pekerja, sekali gus membantu mereka menghadapi tekanan kos sara hidup.

Beliau menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai pendekatan seimbang yang memberi perhatian kepada kesejahteraan rakyat dan keperluan sektor perniagaan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.