Belanjawan 2027 seimbang, tingkat pendapatan boleh guna rakyat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Belanjawan 2027 dilihat mengambil pendekatan seimbang dalam meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi domestik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan pelepasan cukai, pengurangan kadar cukai pendapatan individu dan pelarasan gaji memberi manfaat kepada pelbagai kumpulan pendapatan.
  • Langkah ini meningkatkan kuasa beli rakyat dan berpotensi merangsang perbelanjaan pengguna serta permintaan terhadap barangan tempatan.
  • Fokus belanjawan lebih kepada golongan B40 dan M40, termasuk bantuan sebelumnya seperti SARA dan STR.
  • Peningkatan pendapatan perlu disertai peningkatan produktiviti untuk elak inflasi dan kekalkan kestabilan harga serta pertumbuhan ekonomi mampan.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pendekatan itu dapat dilihat menerusi peningkatan pelepasan cukai, pengurangan kadar cukai pendapatan individu serta pelarasan gaji yang memberi manfaat kepada pelbagai kumpulan pendapatan.

Menurut beliau, langkah berkenaan bukan sahaja membantu meningkatkan kuasa beli rakyat, malah berpotensi merangsang perbelanjaan pengguna dan permintaan terhadap barangan tempatan.

“Belanjawan kali ini dilihat lebih memfokuskan kepada golongan B40 dan M40. Sebelum ini, pelbagai bantuan telah disalurkan, antaranya Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan sebagainya.

“Namun, kali ini golongan M40 turut mendapat perhatian apabila kerajaan menaikkan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000. Perkara ini telah dinantikan selama 16 tahun, dengan pelarasan terakhir dibuat pada tahun 2010,” katanya kepada RTM.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa peningkatan pendapatan perlu disertai pertumbuhan produktiviti bagi memastikan kestabilan harga barangan.

Ini kerana kenaikan pendapatan tanpa peningkatan produktiviti boleh mendorong inflasi, sekali gus mengurangkan manfaat yang dinikmati rakyat.

Justeru, dasar fiskal yang dilaksanakan perlu memastikan peningkatan kuasa beli rakyat bergerak seiring dengan produktiviti bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi domestik yang mampan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.