
SAUDARA PENGARANG
- Bantuan perlu meningkatkan keupayaan pengusaha, bukan hanya menampung kos pengeluaran yang meningkat.
- Infrastruktur pengairan dan penyelenggaraan mesti dinilai berdasarkan kesan kepada produktiviti dan pendapatan pengusaha.
- Pembiayaan teknologi mesti disertai latihan pengurusan, penilaian kesesuaian dan sokongan pemasaran untuk menjana daya saing.
- Pembangunan perusahaan, model perniagaan dan kesinambungan generasi pelapis penting untuk memastikan kelangsungan pengusaha.
Apakah gunanya kita berjaya meningkatkan pengeluaran makanan pada tahun 2027 jika perusahaan yang menghasilkannya tidak mampu bertahan untuk sepuluh tahun akan datang?
Persoalan ini wajar diberikan perhatian ketika menilai Belanjawan 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober 2026.
Dalam keadaan dunia berhadapan dengan ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim, peningkatan kos pengeluaran dan gangguan rantaian bekalan, sektor agromakanan tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai aktiviti ekonomi tradisional.
Sektor ini merupakan sebahagian daripada keupayaan strategik negara untuk menjamin bekalan makanan dan melindungi kesejahteraan rakyat.
Belanjawan 2027 memperlihatkan komitmen kerajaan melalui peruntukan RM2.62 bilion bagi bantuan pesawah, RM300 juta untuk memperkukuh projek agromakanan melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Juga dana pembiayaan melebihi RM1 bilion melalui Agrobank, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi menyokong usahawan tani.
Peruntukan ini penting dan mempunyai asas yang munasabah. Pengusaha agromakanan memerlukan sokongan untuk menghadapi kos input, risiko pengeluaran dan keterbatasan modal.
Namun, jumlah peruntukan yang besar tidak semestinya menjamin peningkatan daya saing sektor.
Daripada perspektif pengurusan strategik, persoalan utama bukan sekadar sama ada sumber kewangan mencukupi, tetapi bagaimana sumber tersebut digunakan untuk menghasilkan perubahan yang berkekalan.
Pada pandangan saya, cabaran sebenar sektor agromakanan Malaysia bukan hanya untuk meningkatkan pengeluaran, tetapi untuk membina sistem pengeluaran dan perusahaan yang produktif, berdaya saing serta mampu bertahan tanpa terus bergantung pada bantuan yang semakin meningkat.
Belanjawan 2027 menyediakan beberapa instrumen penting ke arah tersebut. Namun, keberkesanannya bergantung pada kemampuan kita menghubungkan bantuan kewangan, teknologi, pembangunan perusahaan, akses pasaran dan kesinambungan pengusaha dalam satu strategi pembangunan yang lebih menyeluruh.
Bantuan Mengurangkan Kos, Meningkatkan Keupayaan?
Antara pengumuman utama Belanjawan 2027 ialah bantuan RM2.62 bilion kepada pesawah. Menurut teks ucapan belanjawan, pesawah akan menikmati manfaat sekitar RM4,300 bagi setiap hektar sawah melalui pelbagai bentuk sokongan, termasuk subsidi benih, baja, racun, upah bajak dan harga padi.
Kerajaan turut meningkatkan insentif penuaian padi daripada RM50 kepada RM100 sehektar semusim. Insentif pembajakan RM300 pula dikekalkan dan diperluas kepada pesawah di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, RM20 juta disediakan bagi membekalkan baja foliar untuk memulihkan dan menyuburkan semula lebih 10,000 hektar tanah sawah.
Langkah ini memberikan kelegaan kepada pesawah yang berhadapan dengan kos pengeluaran dan risiko yang sukar dikawal.
Namun, daripada sudut pengurusan strategik, bantuan kewangan perlu dinilai berdasarkan dua tujuan yang berbeza, iaitu memastikan pengusaha mampu meneruskan operasi dan meningkatkan keupayaan mereka untuk menghasilkan prestasi yang lebih baik.
Kedua-dua tujuan ini penting, tetapi kesannya tidak sama.
Subsidi input dapat mengurangkan kos yang ditanggung oleh pesawah pada sesuatu musim. Namun, sekiranya hasil sehektar kekal rendah, penggunaan sumber tidak cekap dan pendapatan bersih tidak meningkat, masalah asas perusahaan masih belum diselesaikan.
Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang keberkesanan jangka panjang bantuan yang diberikan.
Adakah bantuan tersebut membantu pesawah meningkatkan produktiviti, atau sekadar membolehkan mereka menanggung kos pengeluaran yang semakin tinggi?
Persoalan ini tidak bermaksud subsidi perlu dihentikan. Sebaliknya, subsidi perlu diselaraskan dengan usaha membina keupayaan pengeluaran.
Sebagai contoh, bantuan input boleh disertai pemantauan hasil tanaman, latihan pengurusan kos dan bimbingan penggunaan sumber secara lebih cekap. Dengan cara ini, keberkesanan bantuan dapat dilihat melalui perubahan produktiviti dan pendapatan sebenar.
Dalam pengurusan strategik, sumber kewangan merupakan satu bentuk sokongan, tetapi prestasi bergantung kepada keupayaan organisasi mengurus dan menggunakan sumber tersebut.
Prinsip yang sama terpakai kepada perusahaan agromakanan. Wang boleh membantu membeli input, tetapi pengetahuan, kemahiran dan kecekapan pengurusan menentukan sejauh mana input tersebut menghasilkan pulangan.
Oleh itu, kejayaan bantuan pesawah tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah penerima semata-mata. Ukuran yang lebih bermakna ialah peningkatan hasil sehektar, pengurangan kos bagi setiap unit pengeluaran dan pertambahan pendapatan bersih.
Jika perkara ini tidak diberikan perhatian, bantuan yang meningkat dari tahun ke tahun mungkin hanya mengekalkan tahap operasi sedia ada tanpa membawa perubahan yang ketara kepada daya saing sektor.
Infrastruktur Perlu Menghapuskan Halangan Pengeluaran
Belanjawan 2027 turut memberikan perhatian kepada infrastruktur pengeluaran padi melalui pelaksanaan Projek Tanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun di kawasan MADA.
Kerja menaik taraf sistem pengairan di 15 blok sawah sedang berjalan mengikut jadual, manakala Projek Pemulihan Empangan Pedu dijangka siap pada penghujung 2027.
Daripada sudut strategik, pembangunan ini penting kerana prestasi perusahaan pertanian bukan hanya ditentukan oleh kemampuan pengusaha secara individu. Ia juga dipengaruhi oleh keadaan persekitaran yang menyokong aktiviti pengeluaran.
Seorang pesawah mungkin mempunyai kemahiran dan pengalaman yang luas, tetapi keupayaannya meningkatkan hasil tetap terbatas sekiranya sistem pengairan tidak berfungsi dengan baik.
Begitu juga pengusaha tanaman makanan yang mempunyai pasaran tetapi menghadapi masalah jalan ladang, kemudahan penyimpanan atau pengangkutan hasil.
Dalam keadaan sedemikian, meningkatkan bantuan kewangan kepada pengusaha tidak semestinya menyelesaikan masalah sebenar.
Sebaliknya, intervensi yang lebih berkesan mungkin memerlukan pembaikan sistem pengairan, penyelenggaraan infrastruktur atau penyelarasan pengeluaran dan pengedaran.
Ini menunjukkan kepentingan mengenal pasti halangan utama yang mengehadkan prestasi sesuatu sektor sebelum menentukan bentuk sokongan yang diperlukan.
Namun, pembinaan infrastruktur juga perlu disertai pengurusan pelaksanaan yang berkesan.
Sistem pengairan yang dinaik taraf perlu diselenggara secara berterusan. Projek pertanian pula perlu mempunyai sasaran pengeluaran yang realistik serta mekanisme pemantauan yang jelas.
Kejayaan projek tidak seharusnya berhenti pada laporan bahawa pembinaan telah disiapkan.
Persoalan yang lebih penting ialah sama ada infrastruktur tersebut benar-benar membantu meningkatkan produktiviti, mengurangkan gangguan operasi dan memperbaiki pendapatan pengusaha.
Tanpa penilaian sedemikian, kita berisiko mengukur kejayaan berdasarkan penyempurnaan projek, sedangkan manfaat ekonomi yang diharapkan mungkin belum tercapai.
Teknologi Bukan Kelebihan Daya Daing Secara Automatik
Belanjawan 2027 turut menyediakan dana pembiayaan melebihi RM1 bilion melalui Agrobank, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi menyokong peningkatan hasil tani, termasuk melalui penggunaan teknologi.
Bagi sektor akuakultur, kerajaan menyediakan geran untuk pelaksanaan projek termasuk penggunaan sistem bioflok bagi ternakan tilapia, manakala Agrobank menyediakan RM40 juta bagi pembiayaan projek akuakultur.
Langkah ini selari dengan keperluan memodenkan sektor agromakanan. Namun, terdapat satu perkara yang perlu difahami. Memiliki teknologi tidak semestinya bermaksud sesebuah perusahaan mempunyai kelebihan daya saing.
Kelebihan tersebut hanya wujud apabila teknologi dapat digunakan dengan berkesan untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos, memperbaiki kualiti atau memenuhi permintaan pasaran.
Sebagai contoh, seorang penternak ikan mungkin memperoleh pembiayaan untuk menggunakan sistem ternakan moden.
Teknologi tersebut berpotensi meningkatkan kapasiti pengeluaran, tetapi kejayaan perniagaan masih bergantung kepada kemahiran mengendalikan sistem, kos penyelenggaraan, bekalan input dan kemampuan menjual hasil.
Sekiranya teknologi meningkatkan pengeluaran tetapi kos operasi meningkat lebih cepat daripada hasil jualan, perusahaan mungkin tidak memperoleh manfaat kewangan yang diharapkan.
Begitu juga jika pengusaha menghasilkan lebih banyak produk tetapi tidak mempunyai rangkaian pemasaran yang mencukupi.
Daripada perspektif pengurusan strategik, teknologi perlu dilihat sebagai sebahagian daripada keupayaan perusahaan, bukannya penyelesaian yang berdiri sendiri.
Pengusaha memerlukan pengetahuan untuk memilih teknologi yang sesuai, kemahiran menggunakannya dan kemampuan menyesuaikan operasi apabila keadaan berubah.
Oleh itu, pembiayaan teknologi wajar disertai program pembangunan keupayaan pengurusan, latihan teknikal dan bimbingan perniagaan.
Institusi pengajian tinggi, agensi pertanian dan penyedia teknologi boleh memainkan peranan dengan membantu pengusaha menilai kesesuaian teknologi berdasarkan skala operasi, kos pelaburan dan pulangan yang dijangka.
Lebih penting, keberkesanan program perlu dinilai selepas teknologi digunakan, bukan hanya berdasarkan jumlah pembiayaan yang diluluskan atau bilangan peralatan yang dibeli.
Sekiranya pendekatan ini dapat dilaksanakan, pelaburan teknologi berpotensi menghasilkan perubahan yang lebih berkekalan kepada produktiviti dan daya saing sektor agromakanan.
Menghasilkan Banyak Makanan Belum Tentu Meningkatkan Keuntungan
Satu lagi kelemahan yang perlu diberikan perhatian dalam pembangunan agromakanan ialah kecenderungan menilai kemajuan berdasarkan peningkatan jumlah pengeluaran.
Sememangnya, peningkatan pengeluaran penting untuk memperkukuh bekalan makanan negara. Namun, dari sudut pengurusan strategik, pertumbuhan pengeluaran tidak semestinya bermaksud pertumbuhan perusahaan.
Bayangkan seorang petani berjaya menggandakan hasil tanaman melalui penggunaan teknologi dan bantuan kerajaan. Dari sudut pengeluaran, ini merupakan pencapaian yang positif.
Namun, sekiranya harga jualan rendah, kos penghantaran tinggi atau sebahagian hasil rosak sebelum sampai kepada pembeli, peningkatan pengeluaran mungkin tidak membawa kepada peningkatan keuntungan.
Keadaan ini menunjukkan bahawa strategi pengeluaran perlu diselaraskan dengan strategi pemasaran dan pengurusan rantaian bekalan.
Belanjawan 2027 turut memperluas penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada pembelian barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu di bawah FAMA seluruh negara.
Selain itu, peruntukan Jualan RAHMAH MADANI dan Jualan Agro MADANI ditingkatkan daripada RM630 juta kepada RM750 juta, dengan sasaran 35,000 penganjuran.
Daripada jumlah tersebut, 30,000 merupakan Jualan RAHMAH MADANI dan 5,000 lagi Jualan Agro MADANI yang menawarkan hasil tani segar seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga sehingga 30 peratus lebih murah.
Inisiatif ini penting untuk membantu pengguna mendapatkan makanan pada harga berpatutan.
Namun, dari sudut pembangunan sektor, kita juga perlu menilai sejauh mana program tersebut dapat memperkukuh kedudukan pengeluar dalam rantaian bekalan.
Adakah petani dan penternak mendapat akses kepada pembeli yang lebih stabil? Adakah kos pengedaran dapat dikurangkan? Adakah pengusaha menerima pulangan yang munasabah?
Persoalan ini penting kerana keterjaminan makanan melibatkan kepentingan pengguna dan pengeluar secara serentak.
Pengguna memerlukan makanan pada harga berpatutan, manakala pengeluar memerlukan pendapatan yang mencukupi untuk meneruskan operasi.
Jika harga makanan dikekalkan rendah tetapi kos pengeluaran terus meningkat tanpa peningkatan kecekapan, daya tahan pengusaha boleh terjejas.
Oleh itu, strategi pembangunan agromakanan perlu mengambil kira keseluruhan rantaian nilai, bermula daripada pengeluaran, pengumpulan hasil, pemprosesan, pengedaran sehinggalah kepada pengguna akhir.
Pendekatan ini penting bagi memastikan peningkatan pengeluaran turut diterjemahkan kepada peningkatan nilai ekonomi dan keuntungan perusahaan.
Sektor Agromakanan Memerlukan Perusahaan, Bukan Projek Semata-Mata
Peruntukan RM300 juta bagi memperkukuh kerjasama projek agromakanan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri merupakan peluang untuk membangunkan aktiviti ekonomi berdasarkan kekuatan tempatan.
Kerajaan mengetengahkan projek ternakan tilapia merah di Batang Ai, Sarawak, sebagai antara projek yang berjaya. Projek tersebut menyokong pengeluaran 7.2 juta benih ikan setahun dan memberikan manfaat kepada 200 penternak kecil.
Sementara itu, projek pengeluaran susu di Mersing, Johor, disasarkan menyumbang 50 peratus daripada pengeluaran susu negeri Johor menjelang 2030.
Inisiatif sebegini menunjukkan potensi pembangunan agromakanan berasaskan komuniti.
Namun, persoalan kritikalnya ialah bagaimana memastikan projek yang dibangunkan menggunakan peruntukan awam mampu berkembang menjadi perusahaan yang berdaya tahan.
Sesebuah projek mungkin berjaya memulakan operasi dengan bantuan kewangan, peralatan dan sokongan teknikal. Tetapi apakah yang berlaku selepas tempoh bantuan berakhir?
Adakah peserta mempunyai kemampuan mengurus kewangan? Adakah terdapat pasaran yang stabil? Siapakah yang bertanggungjawab menyelenggara peralatan? Bagaimanakah keputusan perniagaan dibuat?
Tanpa model perniagaan yang berdaya maju, pengurusan yang berkesan dan akses pasaran yang stabil, projek yang kelihatan berjaya pada peringkat awal mungkin menghadapi kesukaran untuk bertahan.
Dari perspektif pengurusan strategik, pembangunan perusahaan memerlukan hala tuju, model perniagaan dan kemampuan menyesuaikan operasi dengan perubahan persekitaran.
Oleh itu, pembangunan projek agromakanan tidak seharusnya tertumpu kepada pemberian input dan kemudahan semata-mata.
Ia perlu turut merangkumi pembangunan kemahiran pengurusan, pemasaran, perancangan kewangan dan kepimpinan.
Dalam konteks ini, kerjasama dengan koperasi, institusi pengajian tinggi dan pemain industri boleh membantu pengusaha membangunkan jaringan perniagaan yang lebih kukuh.
Matlamat akhirnya bukan sekadar mewujudkan lebih banyak projek pertanian, tetapi membangunkan lebih banyak perusahaan agromakanan yang mampu beroperasi secara mampan dan menyumbang kepada ekonomi tempatan.
Siapa Akan Meneruskan Perusahaan Agromakanan?
Di sebalik perbincangan tentang produktiviti, teknologi dan pembangunan perusahaan, terdapat satu lagi risiko strategik yang wajar diberikan perhatian, iaitu kesinambungan pengusaha.
Keterjaminan makanan bukan hanya bergantung kepada tanah pertanian, sistem pengairan dan teknologi. Ia juga bergantung kepada individu yang mempunyai pengetahuan dan kemampuan untuk mengurus pengeluaran.
Dalam sektor agromakanan, sebahagian perusahaan dibangunkan dan diurus oleh keluarga. Pengasas mungkin menghabiskan puluhan tahun membina perniagaan, memahami operasi dan menjalin hubungan dengan pembekal serta pelanggan.
Namun, apakah yang berlaku apabila pengasas semakin berusia atau tidak lagi mampu mengurus perusahaan?
Adakah generasi seterusnya mempunyai minat dan kemampuan untuk mengambil alih? Adakah pengetahuan pengasas telah dipindahkan kepada pengganti?
Adakah perusahaan mempunyai sistem pengurusan yang membolehkannya terus beroperasi tanpa bergantung sepenuhnya kepada individu tertentu?
Persoalan ini bukan sekadar isu keluarga. Ia merupakan sebahagian daripada risiko kelangsungan perusahaan.
Berdasarkan penyelidikan saya dalam bidang perusahaan keluarga dan penggantian kepimpinan, proses penggantian bukan sekadar menyerahkan pemilikan perniagaan kepada generasi berikutnya.
Ia melibatkan persediaan pengganti, pemindahan pengetahuan, pembinaan kepercayaan dan penerimaan tanggungjawab pengurusan.
Dalam perusahaan agromakanan, pengetahuan yang diperoleh melalui pengalaman amat penting. Pengasas mungkin memahami keadaan tanah, musim tanaman, risiko penyakit, pengurusan pekerja dan hubungan pasaran berdasarkan pengalaman bertahun-tahun.
Jika pengetahuan tersebut tidak dipindahkan secara terancang, perusahaan berisiko kehilangan sebahagian daripada keupayaan penting apabila pengasas berundur.
Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menjejaskan kesinambungan pengeluaran.
Oleh itu, pembangunan generasi pelapis perlu diberikan perhatian sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan agromakanan negara.
Belanjawan 2027 menyediakan instrumen pembiayaan dan pembangunan yang boleh dimanfaatkan oleh pengusaha, tetapi usaha membina generasi pelapis memerlukan pendekatan yang lebih khusus.
Anak muda perlu melihat sektor agromakanan sebagai bidang perniagaan yang mempunyai peluang pertumbuhan, penggunaan teknologi dan potensi pendapatan.
Bagi perusahaan keluarga, generasi pelapis pula perlu diberikan ruang untuk memahami operasi, terlibat dalam keputusan perniagaan dan membangunkan kemahiran kepimpinan sebelum mengambil alih tanggungjawab sepenuhnya.
Kerjasama antara institusi pengajian tinggi, agensi pertanian dan pengusaha sedia ada boleh membantu menyediakan latihan, bimbingan serta pendedahan kepada pengurusan perusahaan.
Daripada sudut strategik, usaha ini penting kerana kesinambungan sektor tidak hanya memerlukan pengeluaran yang meningkat, tetapi juga pengusaha yang mampu meneruskan dan memperkukuh pengeluaran tersebut.
Daripada Ukuran Perbelanjaan Kepada Ukuran Prestasi
Secara keseluruhannya, Belanjawan 2027 memperlihatkan usaha kerajaan untuk memperkukuh sektor agromakanan melalui bantuan pengeluaran, pembiayaan, pembangunan infrastruktur dan penggunaan teknologi.
Namun, keberkesanan langkah ini perlu dinilai berdasarkan hasil yang dicapai, bukan semata-mata jumlah peruntukan yang dibelanjakan.
Dalam pengurusan strategik, prestasi tidak diukur hanya berdasarkan sumber yang dimiliki atau aktiviti yang dilaksanakan. Sebaliknya, prestasi dinilai berdasarkan sejauh mana sumber dan aktiviti tersebut menyumbang kepada pencapaian matlamat.
Prinsip ini perlu diterapkan dalam pelaksanaan inisiatif agromakanan. Sebagai contoh, bantuan kepada pesawah perlu dinilai melalui perubahan hasil sehektar, kos pengeluaran dan pendapatan bersih.
Pembiayaan teknologi pula perlu dinilai berdasarkan peningkatan produktiviti, kecekapan operasi dan pulangan kepada pengusaha.
Bagi projek agromakanan berasaskan komuniti, penilaian perlu melihat kemampuan projek meneruskan operasi, memperluas pasaran dan meningkatkan pendapatan peserta selepas tempoh bantuan awal.
Selain itu, pembangunan generasi pelapis juga wajar diberikan perhatian melalui pengukuran penyertaan pengusaha muda, pembangunan kemahiran dan kesinambungan perusahaan sedia ada.
Penilaian sebegini dapat membantu kerajaan dan agensi pelaksana mengenal pasti program yang benar-benar memberikan kesan serta menambah baik pendekatan yang kurang berkesan.
Lebih penting, ia dapat mengurangkan risiko pembangunan yang terlalu bergantung kepada pelaksanaan projek baharu tanpa memberikan perhatian yang mencukupi kepada prestasi dan kelangsungan projek sedia ada.
Dalam keadaan sumber kewangan negara mempunyai pelbagai tuntutan, kecekapan penggunaan peruntukan menjadi semakin penting.
Setiap ringgit yang dibelanjakan seharusnya bukan sahaja membantu pengusaha hari ini, tetapi turut menyumbang kepada pembinaan keupayaan sektor untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan.
Membina Sektor Mampu Bertahan
Belanjawan 2027 menyediakan asas yang penting untuk memperkukuh sektor agromakanan Malaysia.
Bantuan kepada pesawah dan nelayan dapat mengurangkan tekanan kos, pembangunan infrastruktur berpotensi meningkatkan kecekapan pengeluaran, manakala pembiayaan dan teknologi membuka peluang untuk meningkatkan produktiviti.
Namun, daripada perspektif pengurusan strategik, pembangunan sektor agromakanan tidak boleh bergantung kepada pendekatan bantuan dan peningkatan pengeluaran semata-mata.
Malaysia memerlukan strategi yang menghubungkan kecekapan pengeluaran, pembangunan keupayaan perusahaan, akses pasaran, penggunaan teknologi dan kesinambungan generasi pelapis.
Perkara ini penting kerana keterjaminan makanan bukan hanya persoalan kemampuan negara menghasilkan makanan dalam sesuatu tahun.
Ia turut melibatkan daya tahan keseluruhan sistem pengeluaran apabila berhadapan dengan perubahan kos, permintaan pasaran, risiko iklim dan peralihan generasi pengusaha.
Justeru, kejayaan Belanjawan 2027 perlu dinilai berdasarkan sejauh mana ia membantu membina perusahaan agromakanan yang lebih produktif, menguntungkan dan mampu bertahan dalam jangka panjang.
Kita tidak mahu hanya berjaya meningkatkan jumlah pengeluaran pada tahun 2027, tetapi masih berhadapan dengan masalah kebergantungan bantuan, kelemahan daya saing dan kekurangan pengusaha pelapis pada tahun-tahun berikutnya.
Akhirnya, persoalan paling penting bukan berapa banyak wang yang diperuntukkan untuk menghasilkan makanan hari ini, tetapi sama ada pelaburan tersebut mampu memastikan Malaysia terus mempunyai pengusaha dan perusahaan yang berdaya saing untuk menghasilkan makanan pada masa hadapan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Nadiah Mahmad Nasir
Pensyarah Kanan (Pengurusan Strategik, Keusahawanan)
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
E-mel: nadiahnasir@unimap.edu.my