Polis Brazil selamatkan 13 kanak-kanak, tembak mati suspek

Foto fail/AFP

RIO DE JANEIRO, 10 Oktober -Seramai 13 kanak-kanak yang dijadikan tebusan di sebuah tadika berjaya diselamatkan, manakala suspek yang mengugut untuk membakar bangunan berkenaan ditembak mati oleh polis Brazil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejadian berlaku di Curitiba, selatan Brazil.
  • Suspek tiba menaiki basikal, membawa bahan mudah terbakar, pemetik api, pisau dan senjata tiruan.
  • Rundingan dengan suspek berlangsung antara dua setengah hingga tiga jam, sebelum kanak-kanak mula gelisah dan dipukul.
  • Polis melancarkan tindakan taktikal; beberapa das tembakan dan bunyi didakwa bom kilat direkodkan; suspek dilaporkan menghidap skizofrenia.

Kejadian berlaku di bandar Curitiba, selatan Brazil, pada Jumaat.

Komander unit pasukan khas polis tentera negeri Parana, Alexandre Lopes Dias, berkata semua kanak-kanak berkenaan dibawa untuk pemeriksaan serta mendapatkan rawatan awal.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak mengalami kecederaan.

Suspek dilaporkan tiba dengan menaiki basikal sebelum melompat pagar sebuah pusat pendidikan kanak-kanak milik pihak berkuasa tempatan, lalu mengurung diri bersama 13 kanak-kanak di dalam sebuah bilik.

Suspek kemudian menyebarkan bahan mudah terbakar di dalam bilik berkenaan sambil memegang pemetik api.

Dia turut membawa sebilah pisau dan objek yang pada awalnya disangka senjata api, namun kemudian disahkan sebagai senjata tiruan.

Menurut Lopes Dias, rundingan dengan suspek berlangsung antara dua jam setengah hingga tiga jam.

Bagaimanapun, keadaan semakin tegang apabila kanak-kanak mula gelisah dan suspek bertindak memukul mereka.

Polis kemudian memutuskan untuk melancarkan tindakan taktikal bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

Rakaman yang disiarkan stesen televisyen tempatan menunjukkan guru serta kakitangan sekolah membawa keluar kanak-kanak lain dari premis berkenaan.

Media tempatan melaporkan beberapa das tembakan dilepaskan dan bunyi yang dipercayai daripada bom kilat turut kedengaran.

Polis memaklumkan identiti suspek telah dikenal pasti dan beliau dilaporkan menghidap skizofrenia.

Bagaimanapun, motif kejadian serta kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan mana-mana individu di tadika itu masih belum diketahui.

Brazil sebelum ini turut berdepan beberapa insiden serangan di institusi pendidikan.

Pada April 2023, seorang lelaki membunuh empat kanak-kanak menggunakan kapak di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Blumenau, yang juga terletak di selatan negara itu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.