
LONDON, 14 Mei – Kesatuan pemain bola sepak dunia (FIFPRO) sekali lagi menyuarakan kebimbangan terhadap risiko cuaca panas melampau pada Piala Dunia FIFA 2026 selepas kajian terbaharu menunjukkan peningkatan ketara suhu berbahaya kepada pemain dan penyokong.
- Analisis menunjukkan kira-kira satu perempat daripada 104 perlawanan berisiko melepasi had keselamatan WBGT; sekitar lima perlawanan mungkin perlu ditangguhkan.
- FIFPRO mengesyorkan penyejukan apabila WBGT melebihi 26 darjah Celsius dan penangguhan jika melebihi 28 darjah Celsius.
- FIFA merangka pelan pengurusan haba dengan rehat hidrasi tiga minit, kemudahan penyejukan dan kesiapsiagaan perubatan; beberapa venue tanpa pendingin hawa berisiko tinggi.
Analisis kumpulan penyelidikan iklim, World Weather Attribution mendapati kira-kira satu perempat daripada 104 perlawanan kejohanan itu berisiko berlangsung dalam keadaan melebihi had keselamatan yang disyorkan FIFPRO.
Kajian tersebut turut menunjukkan sekitar lima perlawanan mungkin berlangsung dalam keadaan yang dianggap tidak selamat sehingga memerlukan penangguhan.
Penyelidik menggunakan indeks Wet Bulb Globe Temperature (WBGT) bagi mengukur tahap keberkesanan tubuh manusia menyejukkan badan ketika cuaca panas dan lembap.
Pengarah Perubatan FIFPRO, Vincent Gouttebarge berkata, dapatan itu selari dengan unjuran yang pernah diterbitkan badan berkenaan pada 2023.
Menurut beliau, situasi tersebut menguatkan keperluan untuk melaksanakan pelbagai langkah mitigasi bagi melindungi kesihatan dan prestasi pemain ketika beraksi dalam cuaca panas.
FIFPRO mencadangkan langkah penyejukan dilaksanakan apabila bacaan WBGT melebihi 26 darjah Celsius (°C) , manakala perlawanan disaran ditangguhkan jika bacaan melepasi 28 °C .

Dalam kenyataan kepada Reuters, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memaklumkan pihaknya sudah merangka pelan pengurusan risiko haba termasuk menyediakan rehat hidrasi selama tiga minit setiap separuh masa, kemudahan penyejukan serta kesiapsiagaan perubatan mengikut keadaan semasa.
Menurut FIFA, badan induk bola sepak dunia itu komited melindungi keselamatan pemain, pengadil, penyokong, sukarelawan dan petugas sepanjang kejohanan berlangsung.
Sementara itu, pakar perubatan dari Imperial College London, Chris Mullington, berpandangan cuaca panas ekstrem mungkin lebih memberi kesan kepada corak permainan berbanding menyebabkan kecemasan kesihatan serius dalam kalangan pemain profesional.
Beliau berkata, pemain dijangka akan menyesuaikan intensiti permainan masing-masing bagi mengawal suhu badan ketika beraksi.
Kajian itu turut mendapati beberapa venue tanpa sistem pendingin hawa seperti di Miami, Kansas City, New York dan Philadelphia mempunyai risiko lebih tinggi mengalami suhu panas berbahaya.
Malah, Stadium MetLife di New Jersey yang bakal menjadi lokasi perlawanan akhir Piala Dunia 2026 kini mempunyai kebarangkalian satu daripada lapan untuk melepasi ambang suhu WBGT 26 darjah Celsius.
Profesor sains iklim Imperial College London, Friederike Otto, pula mencadangkan FIFA mempertimbangkan perubahan jadual penganjuran Piala Dunia pada masa depan, khususnya di kawasan yang berdepan cuaca panas melampau ketika musim panas.