
ALOR SETAR, 14 Mei – Kedah FM menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah bagi memperkasakan kesedaran penjagaan kesihatan fizikal dan mental dalam kalangan kakitangannya menerusi program ‘Fat To Fit’.
- Aktiviti zumba yang meriah melibatkan kakitangan daripada pelbagai unit, dijalankan dalam suasana santai dan penuh semangat.
- Program yang dimulakan sejak tahun lepas bertujuan menjaga kebajikan melalui keseimbangan kesihatan fizikal dan mental.
- Program kini diadakan dua kali sebulan dan telah menjadi rutin bulanan bagi warga kerja Kedah FM.
- Perancangan masa depan termasuk mempelbagaikan aktiviti, saringan kesihatan berkala, program sukan dan penglibatan komuniti.
Program yang berlangsung meriah di stesen radio berkenaan hari ini menghimpunkan kakitangan pelbagai unit menerusi aktiviti zumba dalam suasana santai dan penuh semangat.
Penerbit program, Nor Khairul Iskandar Abdul Kadir berkata program yang dimulakan sejak tahun lepas itu bertujuan memastikan kebajikan warga kerja sentiasa terjaga melalui keseimbangan kesihatan fizikal dan mental.
Beliau berkata program berkenaan turut dilaksanakan bersama Unit Well Hub dan Wellness Jabatan Kesihatan Negeri Kedah serta mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada kakitangan.
“Program ‘Fat To Fit’ kini diadakan dua kali sebulan dan telah dijadikan sebagai rutin bulanan bagi warga kerja Kedah FM,” katanya ketika ditemui pada program tersebut hari ini.
Turut hadir memberikan sokongan dan menyertai aktiviti berkenaan ialah Pengarah Penyiaran Negeri Kedah, Nur Hafizoh Idris bersama wakil daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Nor Khairul Iskandar berkata program itu akan terus diperkasakan dengan pelbagai pengisian tambahan bagi memberikan impak yang lebih menyeluruh.
“Kami merancang untuk mempelbagaikan aktiviti termasuk mengadakan saringan kesihatan secara berkala, program sukan serta memperluas penglibatan bersama komuniti pada masa akan datang,” katanya.