
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan permohonan pembidaan bagi penganjuran Kejohanan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik 2026, yang dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang dari 3 hingga 10 Oktober ini.
- Kelulusan di bawah Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 mencerminkan komitmen kerajaan memperluas peluang untuk atlet komuniti pekak.
- Presiden MSDeaf anggap keputusan sebagai pengiktirafan besar dan suntikan semangat kepada pembangunan sukan komuniti pekak negara.
- MSDeaf komited memastikan persiapan lancar dan temasya ini akan mengetengahkan bakat atlet pekak serta mengukuhkan imej Malaysia sebagai penganjur inklusif.
Kelulusan yang diberikan di bawah Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 itu mencerminkan komitmen jitu kerajaan dalam memperluas peluang buat atlet komuniti pekak bersaing di peringkat global, sekali gus memartabatkan ekosistem sukan yang menyeluruh.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruen menyifatkan keputusan berkenaan sebagai satu pengiktirafan besar dan suntikan semangat buat sukan komuniti pekak di negara ini.
“Kami berterima kasih kepada KBS dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan yang menerima usaha persatuan dan berharap temasya ini akan meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi utama penganjuran acara sukan antarabangsa.
“MSDeaf komited memastikan segala persiapan berjalan lancar dan teratur. Kami yakin kejohanan ini bukan sahaja memperkasakan pembangunan sukan komuniti pekak, malah memberi impak positif kepada pembangunan sukan negara secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Temasya sukan serantau itu dijangka menjadi platform terbaik untuk mengetengahkan bakat atlet pekak dari rantau Asia Pasifik, selain mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai hab penganjuran sukan yang inklusif, progresif dan bertaraf dunia.