Laluan Lahad Datu-Tawau terputus sementara akibat kegagalan benteng

Laluan alternatif sedang dibina/Foto RTM

LAHAD DATU, 15 Mei Laluan utama menghubungkan Lahad Datu Kunak, Tawau dan Semporna terputus sementara hari ini susulan runtuhan benteng jalan sekitar kawasan Silam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurutera Daerah JKR mengesahkan kegagalan struktur benteng yang menyebabkan laluan terputus sepenuhnya.
  • Kontraktor WPC sedang membina lencongan sementara untuk memulihkan laluan yang terjejas.
  • Orang ramai dinasihatkan menangguhkan perjalanan sehingga laluan disahkan selamat; bomba dimaklumkan untuk tindakan kecemasan.

Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Izualdeen Mohd Dzul berkata, beliau menerima laporan kejadian tersebut daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas melakukan pemeriksaan di lokasi runtuhan.

Menurut beliau, pihak kontraktor WPC sedang melaksanakan kerja pembinaan lencongan sementara bagi memulihkan laluan yang terjejas.

“Jalan tidak dapat dilalui buat sementara waktu dan tiada jalan alternatif untuk ke Tawau ataupun ke Lahad Datu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memaklumkan bahawa pusat kawalan bomba telah dimaklumkan mengenai situasi tersebut bagi memastikan tindakan kecemasan dapat diselaraskan memandangkan laluan utama tidak boleh digunakan ketika inii

Sementara itu, laporan awal Jurutera Daerah JKR Lahad Datu mengesahkan kegagalan struktur benteng tersebut menyebabkan laluan terputus sepenuhnya.

Dalam perkembangan sama, kerja-kerja pembinaan laluan lencongan sementara sedang giat dijalankan.

Orang ramai dinasihatkan agar menangguhkan perjalanan ke Lahad Datu atau Tawau buat sementara waktu sehingga laluan tersebut disahkan selamat untuk digunakan.