SPRM minta DBKL perketat pemantauan projek berhampiran kolam takungan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan kepentingan pematuhan ketat terhadap syarat pembangunan, khususnya bagi projek di kawasan sensitif berhampiran kolam takungan air di ibu negara..

RINGKASAN BERITA AI
  • DBKL diberi peringatan sejak 2023 untuk memperkukuh pemantauan dan kawal selia projek berhampiran kolam takungan.
  • SPRM membuka kertas siasatan pada 2022 susulan aduan salah guna kuasa melibatkan DBKL dan JPSKL, termasuk pertukaran status tanah.
  • Siasatan selesai pada 2023, dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, tiada unsur rasuah dan keputusan Tiada Tindakan Lanjut.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diberi peringatan sejak 2023 supaya memperkukuh pemantauan dan kawal selia bagi memastikan setiap projek mematuhi syarat ditetapkan.

Menurut beliau, isu utama yang ditekankan adalah keperluan pematuhan prosedur dan kawalan pembangunan bagi mengelakkan sebarang impak terhadap fungsi kolam takungan air, yang berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

“SPRM telah mengingatkan DBKL supaya memastikan semua syarat dan spesifikasi pembangunan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak kontraktor, khususnya bagi projek berhampiran kolam takungan air,” katanya.

Dalam pada itu, SPRM memaklumkan kertas siasatan telah dibuka pada 2022 susulan aduan berkaitan dakwaan salah guna kuasa melibatkan beberapa pegawai DBKL serta Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur (JPSKL) bagi tempoh 2015 hingga 2021, termasuk isu pertukaran status tanah di kawasan berhampiran kolam takungan seperti di Taman Wahyu.

Siasatan yang dijalankan secara menyeluruh itu melibatkan penelitian dokumen dan keterangan sebelum dilengkapkan pada 2023 serta dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati tiada unsur rasuah dikesan, dan kes berkenaan diputuskan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).