Bekalan minyak negara stabil, tidak perlu catuan

Foto Bernama

SENDAYAN, 15 Mei – Bekalan minyak dan gas negara masih stabil tanpa perlu ada catuan penggunaan, hasil pengurusan baik syarikat petrolium negara serta dasar ekonomi yang cekap.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pentadbiran kerajaan dan Petronas terbuka kepada teguran untuk penambahbaikan serta meningkatkan kecekapan operasi.
  • Kerajaan menghantar pegawai ke Afrika dan Amerika Latin untuk meneroka peluang baharu dalam sektor minyak dan gas.
  • Ketua Pegawai Eksekutif Petronas ke Turkmenistan mencari telaga minyak dan gas baru, Malaysia terus dihormati di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kestabilan itu dicapai menerusi pengurusan syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), yang baik selain pentadbiran kerajaan yang sentiasa menerima teguran untuk melakukan penambahbaikan.

“Belum perlu ada catuan, belum perlu berbaris, belum perlu dilarang penggunaan kenderaan. Maksudnya bekalan masih cukup kerana pengurusan Petronas yang baik, dasar ekonomi yang baik dan pentadbiran di bawah pimpinan Ketua Setiausaha Negara yang menjamin kepantasan serta kecekapan,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 di sini hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan turut mengambil langkah proaktif bagi memastikan jaminan bekalan tenaga negara terus kukuh pada masa hadapan.

Menurut beliau, pegawai kerajaan telah dihantar ke beberapa negara di Afrika dan Amerika Latin bagi meneroka peluang baharu dalam sektor minyak dan gas.

Selain itu katanya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik turut ke Turkmenistan bagi mencari peluang mendapatkan telaga minyak dan gas baharu.

“Data dan kekuatan Malaysia terus diberikan perhatian serta keutamaan oleh banyak negara. Alhamdulillah, Malaysia kini berada pada tahap dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.