
SHAH ALAM, 15 Mei – Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM500,000 bagi melaksanakan siri jelajah pembangunan sukan pickleball ke 50 sekolah seluruh negeri itu sekali gus menjadi negeri pertama membangunkan ekosistem sukan pickleball secara menyeluruh menerusi penubuhan program berkenaan.
- Program Picklespark 2026/2027 berlangsung 12 bulan, sasar sekitar 500 pelajar dan 100 guru untuk kursus asas serta latihan khas.
- Inisiatif bertujuan membentuk ekosistem pickleball di peringkat sekolah dengan melatih guru sebagai jurulatih dan menubuhkan pasukan sekolah.
- Persatuan negeri dan kebangsaan digesa mempergiat kejohanan bagi memperluas pembangunan dan membuka peluang pickleball dipertandingkan dalam temasya seperti SUKMA.
Exco Belia dan Sukan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, menerusi Program Pembangunan Sukan Pickleball Selangor (Picklespark) 2026/2027 itu akan berlangsung selama 12 bulan dengan sasaran kira-kira 500 pelajar dan 100 guru mengikuti kursus asas serta latihan khas.
Inisiatif itu bertujuan membentuk ekosistem pembangunan sukan pickleball di peringkat sekolah termasuk melatih guru sebagai jurulatih.
“Kita mulakan inisiatif ini di Selangor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan menerusi program turun ke sekolah bagi memperkenalkan sukan pickleball kepada murid-murid.
“Pada masa sama, kita turut memberi ruang kepada guru-guru dengan menyasarkan seramai 100 orang guru di seluruh Selangor untuk diberikan pendedahan asas sebagai jurulatih pickleball.
“Dengan itu, mereka boleh membentuk pasukan serta memperkukuh pembangunan sukan itu di sekolah masing-masing. Seterusnya, persatuan pickleball negeri akan menggerakkan program kejohanan dan pertandingan secara lebih tersusun dengan melibatkan atlet serta murid sekolah dalam sukan pickleball secara berstruktur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Pembangunan Sukan Pickleball Selangor (Picklespark) 2026/2027 di Pickleball Playground, di sini.
Pembangunan sukan itu penting memandangkan pickleball kini semakin popular dan mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda, warga emas serta komuniti luar bandar.
Sehubungan itu, persatuan pickleball di peringkat negeri dan kebangsaan digesa mempergiat penganjuran kejohanan bagi memperluaskan pembangunan sukan berkenaan.
Langkah itu penting bagi membuka peluang pickleball dipertandingkan dalam temasya berprestij termasuk Sukan Malaysia (SUKMA).