Masters Malaysia 2026: Tang Jie-Ee Wei tekad hadiahkan kemenangan di laman sendiri

Pasangan beregu campuran negara, Tang Jie- Ee Wei / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kini mengalihkan fokus sepenuhnya terhadap cabaran kejohanan Masters Malaysia 2026 yang bakal membuka tirainya di Axiata Arena, Bukit Jalil, minggu depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tang Jie dan Ee Wei bertekad berikan aksi terbaik serta hadiahkan keputusan membanggakan buat penyokong tempatan.
  • Sokongan dan pengiktirafan sebelum ini menjadi tonik motivasi untuk terus memburu kejayaan lebih gemilang.
  • Tang Jie akui kecederaan menjejaskan persiapan tetapi kini fokus kepada pemulihan sepenuhnya.
  • Malaysia Masters 2026 berlangsung 19 hingga 24 Mei di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pasangan yang menduduki ranking keempat dunia itu bertekad untuk kembali mempamerkan prestasi terbaik, selain mahu menghadiahkan keputusan membanggakan buat para penyokong tempatan apabila beraksi di gelanggang sendiri.

Menurut Tang Jie, segala pengiktirafan dan sokongan padu yang diterima sebelum ini menjadi tonik terbaik serta pembakar semangat untuk mereka terus memburu kejayaan lebih gemilang pada musim ini.

“Saya rasa ini menjadi salah satu motivasi untuk kami terus melangkah dan memburu keputusan lebih baik pada masa akan datang.

“Untuk Malaysia Masters juga, kami berharap dapat memberikan aksi terbaik sekali gus menghadiahkan sesuatu yang membanggakan buat Malaysia, lebih-lebih lagi apabila beraksi di gelanggang sendiri” kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Tang Jie turut mengakui beliau berdepan tempoh mencabar selepas mengalami kecederaan yang sedikit sebanyak menjejaskan persiapannya menjelang beberapa kejohanan utama musim ini.

Bagaimanapun, beliau turut memuji gandingannya, Ee Wei yang amat memahami situasi berkenaan dan memintanya untuk fokus kepada proses pemulihan sepenuhnya sebelum kembali menggalas cabaran di gelanggang.

“Sepanjang tempoh sebulan ini memang bukan mudah untuk kami apabila tidak dapat beraksi di Piala Thomas dan Piala Uber.

“Namun kami tetap fokus menjalani latihan bagi mencari prestasi terbaik untuk tahun ini.

ini juga kecederaan baharu buat saya kerana saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini, jadi agak mencabar untuk saya menyesuaikan diri sepanjang proses pemulihan”, jelasnya.

Kejohanan Malaysia Masters 2026 dijadual membuka tirai dari 19 hingga 24 Mei ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.