
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Pelumba berbasikal trek remaja negara, Sawda Hasbullah meletakkan sasaran untuk sekali lagi memecahkan rekod dunia menjelang Kejohanan Dunia Berbasikal Trek Remaja UCI 2026 di Belgium dari 19 hingga 23 Ogos ini.
- Fokus utama: mara ke peringkat akhir dalam semua acara dan capai catatan masa terbaik.
- Menumpukan sasaran khusus pada acara 1 kilometer untuk catatan masa terbaik.
- Dinobatkan Atlet Muda Terbaik SAM-100PLUS 2025 selepas memenangi emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia.
- Memecahkan rekod dunia 1 km wanita remaja di ACC tahun lalu dengan masa 1:10.818.
Atlet berusia 18 tahun itu turut menyatakan fokus utamanya ketika ini adalah untuk mara ke pentas akhir dalam semua acara yang disertai.
“Tahun ini saya merancang untuk cuba untuk memecahkan rekod dunia sekali lagi pada kejohanan Kejohanan Dunia Remaja yang akan datang
“Saya akan cuba sedaya upaya untuk mara ke peringkat akhir dalam semua acara yang disertai dan menyasarkan catatan masa terbaik, khususnya bagi acara 1 kilometer (km) nanti,”katanya demikian ketika ditemui media selepas Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025 di sini pada Rabu.
Pada majlis itu, beliau dinobatkan sebagai Atlet Muda Terbaik hasil pencapaian meraih pingat emas Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) selain memecahkan rekod dunia acara 1 kilometer ujian masa wanita remaja pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) tahun lalu.
Pada kejohanan berkenaan, Sawda berjaya mencatatkan masa satu minit 10.818 saat pada pentas akhir.