Slot tepis spekulasi, yakin kekal pengurus Liverpool musim depan

Pengurus Liverpool, Arne Slot /REUTERS

LIVERPOOL, 14 Mac – Pengurus Liverpool, Arne Slot menepis spekulasi berhubung masa depannya di Anfield.

RINGKASAN BERITA AI
  • Slot sedang merangka perancangan skuad untuk musim depan dan terlibat dalam perancangan kelab termasuk jelajah pramusim.
  • Musim sukar: pembelian kira-kira £450 juta gagal, krisis kecederaan dan tragedi kematian Diogo Jota membayangi prestasi The Reds.
  • Mohamed Salah cergas untuk aksi menentang Villa tetapi akan meninggalkan kelab pada penghujung musim; dua kemenangan terakhir jamin Liga Juara Eropah.

Beliau menegaskan kini sedang giat merangka perancangan skuad bagi menghadapi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi musim depan.

Pengendali dari Belanda itu tetap optimis mengenai kedudukannya meskipun Liverpool kini sekadar menghuni tangga keempat Liga Perdana Inggeris dan ketinggalan 20 mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.

“Saya mempunyai setiap alasan untuk percaya bahawa saya akan tetap menjadi pengurus Liverpool musim depan.

“Pertamanya, saya masih terikat dengan kontrak dan keduanya, berdasarkan semua perbincangan yang sedang kami jalankan,” katanya dalam sidang media menjelang aksi menentang Aston Villa, Jumaat ini.

Musim ini dianggap sukar buat The Reds selepas pembelian pemain kira-kira £450 juta (RM2.7 bilion) pada musim panas lalu gagal membuahkan hasil.

Selain itu, ia dibayangi krisis kecederaan pemain utama serta tragedi kematian penyerang Diogo Jota dalam kemalangan jalan raya, Julai lalu.

Kekecewaan penyokong mula memuncak selepas keputusan seri 1-1 menentang Chelsea minggu lalu.

Namun Slot menyifatkan kritikan tersebut sebagai asam garam dalam dunia bola sepak.

“Bukan tugas saya untuk menghakimi orang yang menghakimi saya. Mereka mempunyai hak untuk memberikan pendapat masing-masing,” tambahnya lagi.

Slot turut memberi bayangan akan membawa “pasukan yang berbeza” musim depan melalui jendela perpindahan pemain dan mengesahkan beliau kini berada dalam perancangan kelab termasuk jelajah pramusim.

Dalam perkembangan berkaitan, Slot mengesahkan bintang Mesir, Mohamed Salah yang akan meninggalkan kelab pada penghujung musim ini, berada dalam keadaan cergas untuk diturunkan pada perlawanan menentang Villa selepas pulih daripada kecederaan hamstring.

Kemenangan dalam baki dua perlawanan terakhir akan memastikan slot Liga Juara Eropah buat Liverpool, yang kini memiliki kelebihan empat mata di hadapan pasukan tangga keenam, Bournemouth. – AFP