Danish Iftikhar buru catatan bawah 10.4s di Tokyo

Pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Mei -Pelari pecut muda negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee menyasarkan untuk memperbaiki catatan terbaik musim ini 10.46 saat (s) dalam acara 100 meter (m) pada Kejohanan Grand Prix Seiko Golden 2026 di Tokyo, Jepun pada 17 Mei.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus pada peningkatan berperingkat dan mengekalkan momentum tanpa meletakkan harapan terlalu tinggi.
  • Menjadikan kejohanan di Tokyo sebagai medan persediaan bagi Kejohanan Dunia B-20 di Oregon, Amerika Syarikat pada 5-9 Ogos.
  • Tidak menyasarkan masa terlalu pantas di Jepun; memadai catatan bawah 10.5 atau 10.4 saat.
  • Rekod peribadi 10.18s di Sukan SEA 2025; jurulatih bapanya memburu catatan bawah 10.2 atau 10.1 di Oregon.

Atlet berusia 19 tahun itu bagaimanapun, tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi di Tokyo, sebaliknya mahu memberi fokus kepada peningkatan prestasi secara berperingkat selain mengekalkan momentum semasa.

Danish Iftikhar turut melihat kejohanan di Tokyo itu sebagai medan persediaan menjelang Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2026 di Oregon, Amerika Syarikat pada 5 hingga 9 Ogos.

“Di situlah (Oregon) saya menyasarkan untuk mencapai prestasi kemuncak. Insya-Allah pada kejohanan seperti di Tokyo ini, saya mahu mendapatkan pendedahan dan menimba pengalaman baharu.

“Saya juga tidak menyasarkan catatan masa terlalu pantas di Jepun, memadai sekadar bawah 10.5s atau 10.4s,” katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini, hari ini.

Danish Iftikhar memiliki catatan peribadi terbaik 10.18s yang dilakar pada Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember lepas, manakala catatan terbaik musim ini dilakukannya pada kejohanan tempatan di Pulau Pinang, pada April.

Sementara itu, Danish Iftikhar bersama jurulatih merangkap bapanya Muhammad Roslee Ismail menetapkan sasaran lebih besar di Oregon dengan memburu catatan bawah 10.2s atau 10.1s.

“Perancangan kami adalah untuk terus memberikan yang terbaik, mengikut rutin latihan dan melakukan persiapan sebaik mungkin,” kata pemenang pingat gangsa 100m Sukan SEA 2025 itu.

Danish Iftikhar dan bapanya dijadual berlepas ke Tokyo malam ini. – BERNAMA