Legenda badminton negara Datuk Teh Kew San meninggal dunia

Datuk Teh Kew San pernah meraih pelbagai kejayaan termasuk menjuarai beregu lelaki All England pada 1959 / FB Badminton Association of Malaysia – BAM

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Arena badminton negara kehilangan seorang legenda apabila bekas pemain kebangsaan dan kapten skuad juara Piala Thomas 1967, Datuk Teh Kew San meninggal dunia pada usia 91 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • BAM menyatakan dukacita dan menghargai jasa Datuk Teh Kew San kepada badminton negara.
  • Diingati sebagai pemain serba boleh dan figura penting dalam sejarah kegemilangan badminton Malaysia.
  • Meraih trofi utama: All England beregu lelaki 1959, emas perseorangan Kejohanan Asia 1962, emas berpasukan 1962 dan 1965, emas beregu campuran Sukan Asia 1962.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi satu kenyataan di Facebook menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh badminton berkenaan yang disifatkan banyak berjasa mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Kew San dikenang sebagai pemain serba boleh dan antara figura penting dalam sejarah kegemilangan badminton Malaysia.

Sepanjang kariernya, beliau meraih pelbagai kejayaan termasuk menjuarai beregu lelaki All England pada 1959 selain memenangi pingat emas perseorangan lelaki Kejohanan Asia 1962.

Beliau turut membantu Malaysia memenangi pingat emas berpasukan lelaki pada Kejohanan Asia 1962 dan 1965, selain meraih emas beregu campuran pada Sukan Asia 1962.

Mendiang juga memainkan peranan besar membantu Malaysia menjulang Piala Thomas pada 1967 sebagai kapten pasukan kebangsaan.

Menurut BAM, jasa dan sumbangan Kew San akan terus terpahat dalam sejarah badminton negara.

BAM turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan kenalan rapat mendiang atas kehilangan tersebut.