Mexico perhebat persiapan menjelang Piala Dunia 2026

Mexico dijadual mengharungi tiga aksi persahabatan menentang Ghana, Australia dan Serbia sebagai persediaan terakhir sebelum saingan Piala Dunia bermula Jun depan / AFP

MEXICO CITY, 14 Mei – Skuad kebangsaan Mexico giat menjalani latihan intensif sebagai persiapan menghadapi beberapa aksi persahabatan menjelang Piala Dunia FIFA 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Javier Aguirre dan Rafael Marquez mengetuai sesi latihan skuad di pusat latihan berprestasi tinggi.
  • Penjaga gol berpengalaman Guillermo Ochoa kekal tonggak utama pasukan menjelang kejohanan.
  • Mexico dijadual beraksi menentang Ghana, Australia dan Serbia dalam tiga perlawanan persahabatan.

Sesi latihan yang berlangsung di pusat latihan berprestasi tinggi di sini dikendalikan ketua jurulatih Javier Aguirre bersama penolongnya, legenda bola sepak Mexico, Rafael Marquez.

Turut mencuri perhatian ialah kehadiran penjaga gol berpengalaman Guillermo Ochoa yang terus menjadi tonggak utama pasukan menjelang kejohanan terbesar dunia itu.

Mexico dijadual mengharungi tiga aksi persahabatan menentang Ghana, Australia dan Serbia sebagai persediaan terakhir sebelum saingan Piala Dunia bermula Jun depan.

Pemain tengah Mexico, Erik Lira berkata, beraksi di laman sendiri menjadi motivasi terbesar buat pasukan untuk memberikan persembahan terbaik kepada penyokong.

“Semua pemain yang diberi peluang mewakili negara pada Piala Dunia nanti akan berjuang habis-habisan demi maruah Mexico,” katanya.

Sementara itu, penyerang Guillermo Martinez (Memote), menegaskan skuad Mexico mahu mencipta sejarah dengan mengharungi kempen Piala Dunia terbaik pernah disaksikan negara tersebut.

“Setiap pemain kini memberi komitmen penuh dalam latihan yang disifatkan sangat mencabar dan berintensiti tinggi,” katanya.

Martinez turut menekankan bahawa matlamat utama pasukan bukanlah persaingan sesama pemain untuk merebut tempat, sebaliknya saling melengkapi demi membawa Mexico melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan berkenaan.

Mexico merupakan antara tiga negara tuan rumah bersama Amerika Syarikat dan Kanada bagi Piala Dunia FIFA 2026. – AFP