Jururawat tonggak penting sistem kesihatan negara – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebook berkata, jururawat antara individu terawal yang menyambut kelahiran bayi, selain sentiasa berada di sisi pesakit ketika berdepan ujian kesihatan. Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan jururawat sebagai tonggak penting dalam sistem kesihatan negara yang banyak berkorban demi memastikan kebajikan dan rawatan terbaik kepada pesakit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jururawat memberikan sentuhan ihsan, menenangkan pesakit, memujuk kanak-kanak dan memberi sokongan kepada keluarga yang cemas.
  • Pengalaman dan ketelitian jururawat menyokong doktor dalam memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.
  • Profesion kejururawatan adalah mulia; ia menuntut pengorbanan, kekuatan jiwa dan ketulusan hati yang tinggi.
  • Perdana Menteri merakam penghargaan kepada semua jururawat sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia.

Menerusi hantaran sempena Hari Jururawat Sedunia di Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata jururawat memainkan peranan besar dalam kehidupan masyarakat sejak seseorang dilahirkan sehingga ke penghujung usia.

Menurut Datuk Seri Anwar, jururawat antara individu terawal yang menyambut kelahiran bayi, selain sentiasa berada di sisi pesakit ketika berdepan ujian kesihatan.

“Hampir setiap daripada kita pernah merasai sentuhan ihsan seorang jururawat, sama ada menenangkan pesakit yang menahan derita, memujuk anak kecil yang ketakutan atau memberi kekuatan kepada keluarga yang cemas,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman serta ketelitian golongan itu turut menjadi tonggak penting dalam membantu doktor memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.

Beliau turut menyifatkan profesion kejururawatan sebagai kerjaya mulia yang menuntut pengorbanan, kekuatan jiwa dan ketulusan hati yang tinggi.

“Besarnya jasa jururawat sering tidak terungkap dengan kata-kata, namun pengorbanan mereka amat besar nilainya buat rakyat dan negara,” katanya lagi.

Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada semua jururawat atas jasa dan pengorbanan mereka sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.