
DUNGUN, 20 September – Seorang juruteknik kilang perlombongan bijih besi maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan, pagi tadi.
- Kemalangan berlaku kira-kira jam 7.15 pagi di kilometer 70, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Pusat Koreksional Bukit Besi, Dungun.
- Sebuah kenderaan dipercayai terbabas, memasuki laluan bertentangan; motosikal melanggar bahagian kiri belakang kereta dan penunggang tercampak ke atas jalan.
- Pemandu dilaporkan mengalami kecederaan ringan; mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Identiti mangsa yang maut disahkan sebagai Mohd Yusop Abu Bakar, 34 tahun.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat ketika dihubungi mengesahkan mangsa yang parah, meninggal dunia di lokasi.
“Kemalangan berlaku kira-kira pukul 7.15 pagi di kilometer 70, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Pusat Koreksional Bukit Besi, Dungun.
“Ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Kampung Wa, selepas selesai tugasan.
“Sebaik tiba di lokasi, sebuah kenderaan yang dipandu individu berusia dalam lingkungan 40-an dipercayai terbabas di satu selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian kiri belakang kereta berkenaan sebelum mangsa tercampak ke atas jalan.
“Pemandu kenderaan itu, dilaporkan mengalami kecederaan ringan,”katanya.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.