
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) kini memberi tumpuan kepada reformasi menyeluruh sistem kesihatan negara termasuk menangani isu beban kerja dan tekanan mental dalam kalangan petugas kesihatan.
- Menamatkan era doktor kontrak sebagai langkah kritikal tetapi bukan penyelesaian muktamad terhadap cabaran warga kesihatan.
- Lebih 14,000 pegawai perubatan dilantik tetap sejak 2023 dan 4,500 jawatan tetap dijangka ditawarkan tahun depan.
- Pindaan Akta Perubatan 1971 mengukuhkan laluan Parallel Pathway dan latihan kepakaran tempatan, sasaran 13,000 doktor pakar menjelang 2030.
- Pendigitalan penuh fasiliti awam sebelum 2029 untuk mengurangkan birokrasi dan membolehkan doktor fokus kepada rawatan pesakit.
Pada masa sama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah menamatkan sistem doktor kontrak merupakan tindakan kritikal, namun mengakui ia bukan penyelesaian mutlak terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi warga kesihatan ketika ini.
Tambah beliau lagi, KKM kini beralih daripada sekadar memberi penjelasan kepada usaha mencari penyelesaian menyeluruh bagi memperbaiki sistem kesihatan agar lebih prihatin, mampan dan menjaga kebajikan petugas.
“Menamatkan era ‘Doktor Kontrak’ adalah langkah pertama yang kritikal, namun ia bukanlah penyelesaian muktamad. Saya faham dan akui, beban kerja yang berat serta tekanan mental yang membelenggu petugas kesihatan kita adalah realiti yang memerlukan ‘pembedahan’ menyeluruh.
“Kita sedang memperbaiki sistem ini agar lebih prihatin, mengangkat digniti, dan memulihkan maruah setiap petugas kesihatan di negara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, sejak tahun 2023, lebih 14,000 pegawai perubatan sudah dilantik ke jawatan tetap, manakala 4,500 lagi jawatan tetap akan ditawarkan kepada pegawai perubatan pada tahun depan.
Katanya, langkah itu mencerminkan komitmen fiskal kerajaan bagi memastikan doktor muda mempunyai masa depan kerjaya lebih stabil.
Dalam masa sama, beliau berkata, pindaan Akta Perubatan 1971 [Akta 50] turut dilaksanakan bagi memperkukuh laluan ‘Parallel Pathway’ serta latihan kepakaran tempatan.
Menurutnya, KKM menyasarkan 13,000 doktor pakar menjelang 2030 bagi memastikan tenaga pakar tempatan terus kekal berkhidmat di negara ini.
Beliau turut memaklumkan usaha pendigitalan penuh fasiliti kesihatan awam sebelum 2029 akan diteruskan bagi mengurangkan beban birokrasi dan lambakan dokumentasi manual dalam kalangan petugas kesihatan.
“Kita mahu doktor kembali kepada tugas hakiki iaitu merawat pesakit, tanpa perlu ‘berperang’ dengan birokrasi dan timbunan kertas kerja,” katanya.
Beliau turut sekali lagi menegaskan, iltizam beliau dan seluruh warga KKM sangat jelas, iaitu untuk menamatkan era doktor kontrak, dan kini sedang membina sebuah sistem yang mampan, manusiawi, dan lestari untuk generasi akan datang.