Piala FA : JDT benam Penang FC 7-2, buka langkah bergaya ke separuh akhir

JDT belasah Penang FC, mara ke separuh akhir Piala FA / Foto BERNAMA

GEORGE TOWN, 20 September – Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan keunggulan mereka apabila membelasah Penang FC 7-2 pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Bandaraya, malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JDT menguasai permainan sejak awal; Bergson da Silva membuka jaringan pada minit ke-18.
  • Ketua jurulatih Xisco Munoz puji kedalaman skuad dan persaingan sengit untuk tempat dalam kesebelasan.
  • Penang FC terjejas oleh beberapa kesilapan individu terutama di pertahanan dan penjaga gol, menyukarkan usaha bangkit.

Aksi berat sebelah itu menyaksikan JDT menguasai permainan sejak awal perlawanan, sekali gus menutup ruang buat Penang FC untuk mengembangkan permainan.

Jaringan Bergson da Silva pada minit ke-18 membuka pesta gol JDT, sebelum skuad Harimau Selatan terus mengawal permainan sehingga tamat babak pertama.

Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi keseluruhan skuadnya yang mempunyai ramai pemain berkualiti dan bersedia untuk diturunkan.

“Kami mempunyai skuad yang sangat baik dengan 33, 34 atau 37 pemain, selain beberapa pemain muda. Mereka semua bersedia untuk bermain dan agak sukar untuk memilih pemain yang akan diturunkan dalam kesebelasan utama.

“Namun, kami perlu teruskan usaha ini dan saya ucapkan yang terbaik kepada semua pemain,” katanya.

Memasuki babak kedua, Penang FC cuba bangkit menerusi jaringan pemain import, Celestine Enzo, selepas memanfaatkan gerakan pantas pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun, Penang FC gagal memperkemaskan jentera serangan apabila terus diasak JDT yang kemudian menambah enam lagi gol.

Ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, kesilapan individu terutama di bahagian pertahanan dan penjaga gol menjadi antara punca pasukannya dihukum dengan jaringan mudah.

“Kami cuba bersaing dan mengimbangi perlawanan, tetapi beberapa kesilapan individu di belakang, terutamanya penjaga gol, menyebabkan kami dihukum dengan gol mudah.

“Keadaan itu menyukarkan kami kerana semangat juang pemain di padang luntur selepas melakukan kesilapan mudah. Apabila ketinggalan empat atau lima gol, bukan mudah untuk bersaing dengan JDT,” katanya.

Keputusan itu menyaksikan JDT membawa kelebihan besar 7-2 menjelang aksi timbal balik suku akhir Piala FA.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.