Piala FA: KL City ikat DPMM 3-3 aksi suku akhir pertama

Aksi Piala FA berakhir 3-3 selepas kedua-dua pasukan terikat dalam perlawanan sengit malam tadi

KUALA LUMPUR, 20 September – Kuala Lumpur City FC (KL City) mempamerkan semangat juang tinggi untuk mengikat DPMM FC 3-3 pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, Brunei malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlawanan suku akhir pertama berakhir seri 3-3 hingga wisel penamat.
  • Jordan Murray jaringkan gol pembukaan pada minit ke-18 dari hantaran kapten Azwan Ali Rahman.
  • Paulo Josue penalti minit ke-33 menyamakan 1-1; Muhammad Farris tanduk gol minit ke-54.
  • Muhamad Baqiuddin (72') dan Fareed Sadat (77') menyamakan kedudukan; timbal balik pada 11 Okt di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Dalam aksi penuh dramatik itu, tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-18 menerusi Jordan Murray yang menyudahkan hantaran kapten Azwan Ali Rahman untuk menewaskan penjaga gol KL City.

The City Boys bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-33 selepas Paulo Josue tenang menyempurnakan sepakan penalti, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 menuju masa rehat.

Memasuki babak kedua, skuad kendalian James Reynold kembali berada di depan menerusi tandukan Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik pada minit ke-54, sebelum DPMM menambah jaringan ketiga hanya empat minit kemudian untuk mendahului 3-1.

Namun, kelebihan dua gol itu tidak mematahkan semangat KL City apabila Muhamad Baqiuddin Shamsudin merapatkan jurang pada minit ke-72 sebelum tandukan Fareed Sadat lima minit kemudian singgah ke gawang tuan rumah, sekali gus mengikat kedudukan 3-3 hingga wisel penamat.

Kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan sekali lagi pada 11 Okt ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, bagi merebut tempat ke separuh akhir.

Sementara itu, JDT membawa bekalan selesa ke aksi timbal balik selepas membelasah Penang FC 7-2 di Stadium Bandaraya, Georgetown.

Harimau Selatan mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi Bergson da Silva dan Bradley Anthony Tapp sebelum menambah lima lagi jaringan selepas rehat hasil Marcus Guilherme, Juan Martínez, Zaheditabar Shahab, Tapp dan Arif Aiman.

Dua gol Penang FC pula dijaringkan Enzo Celestine dan pemain gantian Mohamad Khala’if Mohd Naskam.

Penang FC dijadual bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi suku akhir kedua pada 9 Okt.

Dalam satu lagi aksi, Kelantan City FC dan Kuching City terikat tanpa jaringan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Kedua-dua pasukan akan kembali berentap pada aksi timbal balik di Stadium Sarawak, Kuching pada 10 Okt bagi menentukan slot ke separuh akhir. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.