Bangunan rosak akibat perang ibarat ‘bom jangka’ di Gaza

Keadaan bangunan di Gaza selepas serangan rejim Zionis/ REUTERS

GAZA, 24 September – Rancangan memindahkan penduduk dari bangunan yang rosak akibat perang di Gaza berdepan pelbagai cabaran, termasuk kekurangan peralatan merobohkan bangunan serta tanah yang terhad untuk menempatkan semula penduduk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Runtuhan bangunan seperti Al-Saada bunuh 21 orang dan tunjukkan risiko nyata kepada penduduk tinggal di bangunan rosak.
  • Pihak berkuasa umum rancangan kecemasan untuk pindahkan 255 bangunan paling berisiko sebelum dirobohkan, namun pelaksanaan sukar.
  • Kekurangan jentera, dana, tanah selamat dan sekatan menyukarkan pembersihan serta penempatan semula, manakala musim sejuk menjadikan ancaman lebih serius.

Hampir setahun selepas gencatan senjata menamatkan pertempuran besar antara Israel dan Hamas, pihak berkuasa memaklumkan puluhan ribu penduduk mempunyai pilihan terhad untuk mendapatkan tempat perlindungan masih tinggal di bangunan yang rosak akibat serangan rejim Zionis.

Pada 16 September lalu, keadaan itu menunjukkan risikonya apabila bangunan Al-Saada di kawasan Al-Rimal, Gaza runtuh dan mengorbankan 21 orang. Namun sekurang-kurangnya 45 mangsa terselamat berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan.

Menurut pihak berkuasa Gaza, lebih 2,000 bangunan diklasifikasikan sebagai berisiko. Beberapa bangunan lain yang rosak akibat perang sebelum ini turut runtuh dan mengorbankan mangsa, termasuk ketika berlaku ribut musim sejuk.

Jurucakap Perbandaran Gaza, Husni Muhanna berkata, bangunan berkenaan kini menjadi seperti “bom jangka” kepada penduduk dan mereka yang kehilangan tempat tinggal di banyak kawasan.

Keadaan itu menimbulkan “bahaya sebenar”, khususnya apabila cuaca dijangka bertambah buruk menjelang musim sejuk.

Pada Ahad, pihak berkuasa Gaza mengumumkan pelan kecemasan untuk memindahkan penduduk daripada 255 bangunan yang dikenal pasti paling berisiko runtuh, sebelum bangunan berkenaan dirobohkan.

Sebuah badan bantuan yang diketuai Mesir menawarkan untuk menyediakan pengangkutan bagi memindahkan penduduk terbabit ke pusat perlindungan yang ditetapkan, menurut Ketua Pejabat Media Kerajaan Gaza yang ditadbir Hamas, Ismail Al-Thawabta.

Bagaimanapun, beliau berkata pelan itu berdepan beberapa halangan utama. Antaranya keengganan sesetengah keluarga berpindah dari bangunan tidak selamat walaupun telah diberi amaran, kekurangan dana yang serius, kekurangan peralatan berat bagi kerja perobohan yang selamat serta terhadnya tanah selamat untuk menempatkan semula penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Pegawai Palestin dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan sekatan Israel terhadap Gaza sebagai punca kekurangan jentera berat untuk kerja pembersihan runtuhan, selain bahan dan peralatan yang diperlukan bagi membina semula kediaman.

Ketua pejabat Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) di Gaza, Alessandro Mrakic, berkata kekurangan peralatan menyebabkan penduduk terpaksa menggali runtuhan menggunakan tangan ketika bangunan Al-Saada runtuh.

Menurutnya, bekalan minyak dan alat ganti juga diperlukan bagi memastikan jentera yang masih terdapat di Gaza terus beroperasi. Beliau menganggarkan kira-kira 400 bangunan kini berisiko runtuh.

“Kami tahu bangunan ini akan runtuh, terutama dengan musim sejuk yang bakal tiba. Kami hanya menanti masa,” katanya.

Bangunan Al-Saada terletak di kawasan yang dibedil rejim Zionis pada 7 Oktober 2023 mencetuskan peperangan antara Palestin dan Israel.

Israel melancarkan serangan udara besar-besaran sebelum meneruskan operasi darat dengan alasan ingin memusnahkan Hamas dan rangkaian terowong bawah tanah kumpulan itu.

Ketua Persatuan Jurutera Gaza, Mohammad Arafa, berkata, berdasarkan penilaian jurutera yang memeriksa bangunan Al-Saada sepanjang tahun lalu, keruntuhan itu berpunca daripada kelemahan struktur selepas beberapa tiang konkrit yang menyokong asas bangunan rosak akibat pengeboman.

Namun, penduduk terus berlindung di bangunan berkenaan kerana tidak mempunyai tempat lain untuk dituju, menurut Feryal Abu Ghanem, menantu perempuannya antara mangsa yang terkorban akibat runtuhan itu.

Bassam Naseer, seorang lelaki yang juga kehilangan tempat tinggal dan kini memilih untuk menetap di sebuah bangunan rosak berhampiran.

“Keadaan di sini juga tidak tahu selama mana ia akan bertahan. Tiada siapa yang menjaga kami. Keadaan tempat ini sangat sukar,” katanya.

Eyad Azzam yang turut kehilangan isteri yang mengandung dan anak lelakinya berusia tiga tahun dalam kejadian itu, menunjukkan video menerusi telefon bimbitnya yang memaparkan seorang lagi anaknya, Abdel-Rahman, terperangkap di bawah runtuhan sebelum diselamatkan.

Ketika kejadian Abdel-Rahman, 7, menghulurkan tangan ke arah ibunya dengan harapan dapat melindunginya daripada runtuhan batu.

“Dia menghulurkan tangannya dan bukan batu yang jatuh, tetapi keseluruhan siling,” katanya.

Azzam berkata penduduk terus tinggal di bawah siling atau tiang bangunan yang rosak kerana tidak mempunyai pilihan lain.

“Hari ini orang berkata, ‘Tempat ini berbahaya untuk didiami.’ Tetapi saya hendak pergi ke mana? Di jalan pun tiada tempat,” katanya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.