Iran tegaskan hak sertai Perhimpunan Agung PBB ke-81

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei / Foto fail REUTERS

TEHRAN, 20 September – Iran menegaskan penyertaannya pada sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) di New York merupakan hak yang sah di sisi undang-undang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wakil Iran bertanggungjawab menghadiri acara antarabangsa untuk menyampaikan pendirian negara dan memastikan hak rakyat didengari.
  • Baghaei menuduh pihak lain menggunakan pelbagai kaedah untuk menghalang penyertaan delegasi Iran.
  • Tindakan menghalang serta propaganda negatif tidak akan menyebabkan Iran berundur daripada menghadiri dan menyatakan pendiriannya.
  • Amerika Syarikat akan mengeluarkan visa kepada 'delegasi teras' Iran; saiz delegasi tahun ini lebih kecil berbanding tahun lalu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata, kehadiran wakil negara itu pada persidangan berkenaan bukan satu keistimewaan yang diberikan oleh mana-mana pihak, sebaliknya hak Iran sebagai anggota pengasas PBB.

“Berada di New York langsung tidak menarik bagi wakil Iran. Namun, ia adalah ruang yang tidak boleh ditinggalkan. Penyertaan Iran dalam sesi UNGA ialah hak yang sah, bukan ihsan yang diberikan kepada kami. Iran merupakan antara 50 anggota pengasas PBB,” katanya dalam wawancara dengan stesen televisyen milik kerajaan, IRIB TV.

Baghaei berkata, wakil Iran mempunyai tanggungjawab untuk menghadiri acara antarabangsa berkenaan bagi menyampaikan pendirian negara serta memastikan hak rakyat Iran didengari masyarakat dunia.

Beliau turut menuduh “pihak lain” menggunakan pelbagai kaedah bagi menghalang penyertaan delegasi Iran.

Katanya, tindakan menghalang penyertaan serta “propaganda negatif” tidak akan menyebabkan Iran berundur daripada haknya untuk menghadiri persidangan itu dan menyatakan pendiriannya.

Sementara itu, Amerika Syarikat pada Khamis memaklumkan akan mengeluarkan visa kepada “delegasi teras” Iran untuk menghadiri UNGA, selaras dengan tanggungjawabnya sebagai negara tuan rumah.

Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam satu kenyataan berkata delegasi Iran yang akan hadir pada tahun ini lebih kecil berbanding tahun lalu. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.