
ROM, 20 September – Itali merancang melarang pemakaian burqa dan niqab di sekolah serta mengehadkan jumlah pelajar asing dalam setiap kelas.
- Cadangan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet tidak lama lagi.
- Ibu bapa pelajar asing yang menghadapi kesukaran menyesuaikan diri diwajibkan mempelajari bahasa Itali.
- Meloni menegaskan pelajar mesti hadir ke sekolah dengan muka tidak ditutup; integrasi penting.
Perdana Menteri, Giorgia Meloni berkata, cadangan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet tidak lama lagi.
Langkah itu turut mewajibkan ibu bapa pelajar asing yang menghadapi kesukaran serius untuk menyesuaikan diri dengan sistem persekolahan supaya mempelajari bahasa Itali.
“Langkah akan dibentangkan tidak lama lagi dalam mesyuarat Kabinet bagi menetapkan jumlah maksimum pelajar asing dalam setiap kelas. Ia juga mewajibkan ibu bapa pelajar asing yang menghadapi kesukaran serius untuk mempelajari bahasa Itali serta melarang burqa dan niqab di sekolah,” katanya.
Meloni bagaimanapun tidak menyatakan jumlah maksimum pelajar asing yang akan ditetapkan bagi setiap kelas.
Menurut Fondazione ISMU, pelajar bukan warganegara Itali membentuk 11.6 peratus daripada keseluruhan pelajar di sekolah negara itu.
Meloni berkata penguasaan bahasa Itali penting bagi membantu pelajar asing menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah.
“Jika hanya seorang kanak-kanak dalam kelas tidak memahami bahasa Itali, dia mungkin dapat mempelajarinya dengan bantuan rakan sekelas dan guru. Namun, jika jumlahnya ramai atau menjadi majoriti, itu bukan lagi integrasi, sebaliknya pengabaian,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelajar perlu hadir ke sekolah dengan wajah tidak ditutup.
“Anda mesti pergi ke sekolah dengan wajah tidak ditutup. Di Itali, tiada sesiapa, atas nama tradisi sebenar atau yang didakwa sebagai tradisi, boleh menentukan bahawa seorang wanita muda perlu menyembunyikan dirinya,” katanya.
Isu integrasi migran, khususnya dari negara majoriti penduduk Islam, kekal menjadi perdebatan dalam politik dan masyarakat Itali. – REUTERS