
SHAH ALAM, 20 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan terdapat hasrat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
- Perkara cadangan diserahkan kepada Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari untuk tindakan lanjut.
- Amirudin akan membincangkan cadangan itu, menurut kenyataan ringkas.
- Bersatu meneroka jajaran politik baharu dan kemungkinan bekerjasama dengan PH akibat tekanan dalam Perikatan Nasional.
- Sumber mendakwa cadangan mendapat restu pimpinan tertinggi dan berada di bawah pengetahuan Presiden Muhyiddin Yassin; Azmin memberi bayangan parti didekati pihak lain.
Beliau yang juga Pengerusi PH memaklumkan, perkara berkaitan cadangan tersebut diserahkan kepada Naib Presiden PKR yang juga Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk tindakan lanjut.
”Yang itu, saudara Amirudin yang bincang,”katanya ringkas selepas Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Selangor International Trade Centre (SITC).
Sebelum ini, media melaporkan Bersatu sedang meneroka jajaran dan hala tuju politik baharu, termasuk kemungkinan membina kerjasama dengan PH susulan kedudukan parti itu yang dilihat semakin berdepan tekanan dan tersisih dalam Perikatan Nasional (PN).
Laporan berkenaan turut memetik sumber pimpinan Bersatu yang mendakwa cadangan jajaran baharu itu, mendapat ‘restu’ pimpinan tertinggi serta berada di bawah pengetahuan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Spekulasi itu terus bertiup kencang susulan kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam yang memberi bayangan parti berkenaan kini didekati beberapa pihak lain bagi meneroka pakatan politik baharu.