
MANCHESTER, 16 Oktober – Pertahanan Manchester United (MU), Lisandro Martinez tampil memohon maaf secara terbuka pada Khamis berikutan tindakan beliau mengecam ahli lembaga pengarah kelab berhubung kepincangan berkait bajet perpindahan pemain.
- Martinez mengakui kenyataannya dibuat mengikut emosi; perbincangan bersama pengurusan dan Michael Carrick menyelaraskan semula fokus serta komitmen pasukan.
- Kecaman beliau timbul selepas kekalahan 0-2 kepada Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara Eropah.
- Kekalahan menambah tekanan ke atas Michael Carrick; Martinez mengkritik Jason Wilcox tentang pelaburan walaupun kelab telah membeli tiga pemain tengah.
Selepas mengadakan perjumpaan khas bersama pengurusan tertinggi kelab dan pengurus pasukan, Michael Carrick, Martinez mengakui kenyataannya dibuat mengikut emosi.
“Rasa kecewa akibat kekalahan telah mendorong saya meluahkan perasaan secara melampau, namun perbincangan terbuka bersama kepimipinan kelab telah berjaya menyelaraskan semula fokus dan komitmen pasukan,” jelas Martinez.
Kecaman tersebut disuarakan pemain pertahanan kebangsaan Argentina itu susulan kekalahan 0-2 gergasi England berkenaan kepada Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada Selasa.
Kekalahan itu memburukkan lagi prestasi The Red Devils yang kini mencatatkan permulaan musim terburuk di Liga Perdana Inggeris dalam tempoh 40 tahun.
Terdahulu, Martinez menyelar Pengarah Teknikal kelab, Jason Wilcox dengan mendakwa beliau berharap untuk melihat pelaburan lebih besar dilakukan selepas United berjaya menduduki tangga ketiga liga musim lalu.
Meskipun United membelanjakan kira-kira £150 juta (RM846 juta) bagi membawa masuk tiga pemain tengah Carlos Baleba, Youri Tielemans, dan Andrey Santos, namun jumlah perbelanjaan tersebut dilihat masih jauh ketinggalan berbanding kelab pesaing utama yang lain.
Insiden ini menambah tekanan ke atas Michael Carrick yang baharu dilantik secara tetap sebagai pengurus, menjelang pertemuan menentang musuh tradisi, Leeds United, dalam saingan liga pada Ahad ini.- AFP