
KOTA SYAHBANDAR, 20 September -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia memperbaharui ikrar bersama bagi memastikan negara terus kekal bersatu, sambil menegaskan Malaysia adalah milik semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
- Tidak akan berkompromi memastikan Malaysia kekal negara untuk semua bangsa.
- Amaran bahawa keadaan sosial, budaya dan politik berada pada tahap kritikal kerana fahaman menekankan kepentingan kaum semata.
- Kepelbagaian kaum dan budaya mesti dipelihara sebagai kekuatan bersama demi masa depan anak bangsa.
Beliau menegaskan tidak sesekali akan berkompromi dalam memastikan Malaysia untuk terus menjadi sebuah negara untuk semua bangsa.
“Saya tidak akan berkompromi. Saya akan nyatakan dengan lantang dan jelas: Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak.
“Ini negara kita. Kita mesti memastikan kita terus bertahan sebagai sebuah negara untuk semua komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Cina Malaysia ke-41 di Encore Melaka, di sini, hari ini.
Beliau turut berkata keadaan sosial, budaya dan politik negara kini berada pada tahap kritikal apabila masih wujud pandangan yang tidak melambangkan semangat kebangsaan, selain cubaan menekankan kepentingan sesuatu kaum sahaja.
Katanya, kepelbagaian kaum dan budaya yang wujud dalam masyarakat Malaysia seharusnya dipelihara sebagai kekuatan bersama, bukannya dijadikan asas untuk memecah-belahkan rakyat.
“Sebab itu apabila kita tampilkan (kepelbagaian), jangan biarkan (ia diketepikan). Anak-anak ini adalah masa depan kita. Kebetulan anak Cina di sana, ada anak Melayu di sana dan ada anak Iban di sana,” katanya.
Sehubungan itu, beliau merayu kepada seluruh rakyat Malaysia agar kembali kepada kekuatan bersama yang menjadi asas kepada kelangsungan hidup rakyat dan negara.