DPMM FC kekal bersaing dalam Liga-M, tekankan konsistensi pengadilan

Pasukan DPMM FC/Foto FB DPMM FC

KUALA LUMPUR, 30 April – Wakil Brunei, DPMM FC mengulangi komitmen untuk terus bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) bagi tempoh jangka panjang meskipun timbul khabar angin beberapa kelab Liga Super berkemungkinan turun beraksi di Liga A1 Semi-Pro susulan kekangan kewangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tumpuan membangunkan pemain tempatan supaya lebih profesional dan kompetitif dalam setiap perlawanan.
  • Kebimbangan terhadap mutu pengadilan yang tidak konsisten; pengadil disaran lebih teliti setiap perlawanan.
  • Perbincangan rasmi MFL menumpu tadbir urus, isu gaji tertunda dan kos operasi yang menekan kelab.

Pengurus Besar DPMM Md Ali Momin berkata hasrat itu selari dengan matlamat kelab untuk membangunkan pemain tempatan agar lebih profesional dan kompetitif.

“Sudah semestinya. Kita memang berhasrat untuk bermain di Liga-M bagi jangka panjang kerana liga ini sangat kompetitif, mempunyai warna dan cabaran yang kita inginkan.

“Tujuan kita untuk mengembangkan pemain-pemain tempatan supaya lebih profesional dan kompetitif dalam setiap perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas perbincangan meja bulat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersama wakil kelab Liga-M di sini semalam.

Pada masa sama, Md Ali berkata pihaknya turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu mutu pengadilan yang perlu lebih konsisten.

“Keputusan yang tidak konsisten mengakibatkan perlawanan kurang menarik. Jadi, kita sarankan pihak pengadil lebih teliti membuat keputusan pada setiap perlawanan,” katanya.

DPMM yang merupakan pendatang baharu Liga-M musim ini, kini menghuni tangga kelapan Liga Super dengan mengumpul 23 mata daripada 21 perlawanan, berbaki tiga aksi sebelum menutup saingan musim ini.

Perbincangan meja bulat MFL bersama wakil kelab Liga-M diadakan susulan gesaan beberapa kelab supaya satu platform rasmi diwujudkan bagi membincangkan isu-isu kritikal termasuk tadbir urus, kewangan serta hala tuju liga yang berdepan pelbagai cabaran ketika ini.

Antara isu berulang dibangkitkan termasuk kelewatan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan oleh beberapa kelab, selain peningkatan kos operasi yang semakin menekan pasukan.

Sesi perbincangan itu turut dikejutkan dengan kehadiran pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Ismail.

Baginda turut menyampaikan pandangan dan menegaskan beberapa isu asas perlu diberi perhatian serius termasuk aspek pembangunan akar umbi, pengadilan, penajaan dan disiplin kewangan dalam kalangan kelab. – BERNAMA