Scott Parker tinggalkan Burnley selepas tersingkir dari liga

Pengurus Burnley, Scott Parker/Foto AFP

LONDON, 30 April – Scott Parker melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih Burnley secara persetujuan bersama susulan penyingkiran kelab itu dari Liga Perdana Inggeris.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dicapai selepas hanya satu musim Burnley kembali ke saingan divisyen tertinggi.
  • Parker membawa The Clarets naik ke Liga Perdana musim lalu tetapi musim ini hanya mencatat empat kemenangan liga.
  • Rekod 2024/25: tanpa kalah 31 perlawanan dan 30 perlawanan tanpa bolos, membantu kenaikan ke Liga Perdana.
  • Mike Jackson akan kendalikan baki empat perlawanan bermula menentang Leeds; pelantikan jurulatih baru untuk 2026/27 sedang dijalankan.

Menurut kenyataan kelab, keputusan itu dicapai bersama pihak pengurusan selepas hanya satu musim Burnley kembali ke saingan divisyen tertinggi.

Parker sebelum ini membawa The Clarets naik ke Liga Perdana musim lalu, namun kempen kali ini menyaksikan pasukan itu bergelut dengan hanya empat kemenangan liga.

Burnley disahkan tersingkir awal bulan ini selepas tewas 0-1 di laman sendiri kepada Manchester City, sekali gus mengikuti Wolverhampton Wanderers kembali ke divisyen Championship.

“Sepanjang tempoh di Turf Moor, Parker membimbing pasukan mencipta musim luar biasa 2024/25 dengan rekod tanpa kalah 31 perlawanan serta 30 perlawanan tanpa bolos, sekali gus memastikan kenaikan ke Liga Perdana.

“Kelab merakamkan penghargaan atas profesionalisme, dedikasi dan sumbangannya sepanjang bersama Burnley,” menurut kenyataan kelab.

Bekas pemain tengah England berusia 45 tahun itu menyifatkan peluang mengendalikan Burnley sebagai satu penghormatan besar.

“Saya menghargai setiap detik perjalanan ini, namun merasakan kini masa sesuai untuk kedua-dua pihak membawa haluan masing-masing,” katanya.

Burnley turut mengumumkan pembantu jurulatih, Mike Jackson, akan mengendalikan baki empat perlawanan liga musim ini, bermula aksi menentang Leeds United.

Proses pelantikan ketua jurulatih baharu bagi musim 2026/27 kini sedang dijalankan.-AFP