Piala thomas: Misi runtuhkan tembok besar China menanti Malaysia di suku akhir

Foto Bernama

HORSENS, 30 April – Skuad badminton lelaki negara bakal berdepan laluan berliku selepas diundi bertemu juara bertahan China pada saingan suku akhir Piala Thomas 2026 di Forum Horsens, di sini esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia mara ke suku akhir sebagai naib juara Kumpulan B manakala China layak sebagai juara Kumpulan A.
  • Peluang membalas dendam ke atas juara 11 kali selepas tewas 1-3 pada separuh akhir edisi 2024 di Chengdu.
  • Kempen Kumpulan: menang 3-2 ke atas England, 4-1 ke atas Finland, kemudian tewas 2-3 kepada Jepun.
  • Suku akhir lain: Denmark bertemu Thailand, Jepun lawan Perancis, Taiwan akan menentang India.

Malaysia mara ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan B manakala China pula layak ke peringkat sama sebagai juara Kumpulan A.

Keputusan undian hari ini juga menyaksikan Malaysia berpeluang membalas dendam ke atas juara 11 kali itu selepas tumpas 1-3 pada aksi separuh akhir edisi 2024 yang berlangsung di Chengdu.

Malaysia, juara lima kali memulakan kempen Piala Thomas kali ini dengan menang tipis 3-2 ke atas England, diikuti kemenangan 4-1 ke atas Finland sebelum tewas 2-3 kepada Jepun.

Dalam pada itu, tuan rumah Denmark yang merupakan naib juara Kumpulan C akan bertemu juara Kumpulan D Thailand.

Sementara itu, Jepun yang juga juara 2014 akan membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan D Perancis.

Juara Kumpulan C Taiwan yang mengintai peluang layak ke separuh akhir buat kali kedua berturut-turut akan menentang naib juara Kumpulan A dan juara edisi 2022 India.

Piala Thomas 2026 yang bermula 24 April lepas akan berlangsung hingga 3 Mei ini.BERNAMA