
HORSENS, 30 April – Skuad badminton lelaki negara digesa memanfaatkan cuti rehat sehari untuk mempersiapkan strategi terbaik bagi memecahkan dominasi China pada aksi suku akhir Piala Thomas 2026, esok.
- Datuk Kenny Goh menyeru semua pemain memainkan peranan masing-masing dan merangka strategi menghadapi China.
- China lebih unggul di perseorangan dengan beberapa pemain ranking tinggi; status Shi Yu Qi menjadi tanda tanya kerana kurang sihat.
- Malaysia bergantung pada kekuatan beregu termasuk juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin.
- Lee Zii Jia menang semua perlawanan di sini dan boleh menjadi sandaran jika kedudukan terikat 2-2.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh berkata semua pemain yang diberi tanggungjawab menggalas cabaran negara di Forum Horsens perlu memainkan peranan masing-masing bagi mencipta kejutan ke atas juara bertahan itu.
“Tidak kira pemain perseorangan atau beregu, semua perlu memainkan peranan masing-masing.
“Hari ini hari rehat dan saya harap pemain dapat memanfaatkan peluang ini untuk merangka strategi menentang China,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian peringkat kalah mati Piala Thomas 2026, hari ini.
Dalam pada itu, Kenny optimis peluang Malaysia untuk mara ke peringkat seterusnya tetap terbuka sekiranya pemain menampilkan semangat juang tinggi ketika menentang juara 11 kali itu.
Atas kertas, China memiliki kelebihan di bahagian perseorangan apabila dibarisi pemain nombor satu dunia Shi Yu Qi; Li Shi Feng (kelapan); Weng Hong Yang (ke-15) dan Lu Guang Zu (ke-23).
Bagaimanapun, status Yu Qi masih menjadi tanda tanya selepas tidak beraksi dalam dua perlawanan Kumpulan A menentang Kanada dan India, yang juga juara edisi 2022, susulan dilaporkan kurang sihat.
Malaysia dijangka mempertaruhkan pemain utama Leong Jun Hao (ranking ke-25 dunia), diikuti Justin Hoh (ke-44), manakala pemain profesional dan bekas juara All England Lee Zii Jia (ke-82) mampu menjadi sandaran sekiranya kedudukan terikat 2-2, berdasarkan prestasi memberangsangkan dipamerkannya di sini.
Zii Jia tidak mengecewakan apabila memenangi semua perlawanan yang disertainya, termasuk mencatat kemenangan mengejut ke atas pemain ranking ke-20 dunia Koki Watanabe 21-13, 21-19, biarpun Malaysia tewas 2-3 kepada Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan B, semalam.
Malaysia dijangka memanfaatkan kekuatan di bahagian beregu untuk mencuri mata berdepan China menerusi gandingan juara dunia 2022 dan pasangan nombor dua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik, selain Man Wei Chong-Tee Kai Wun (keenam) serta pasangan profesiona, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (ketujuh).
China pula mempertaruhkan beregu nombor lima dunia Liang Wei Keng-Wang Chang, selain Chen Bo Yang-Liu Yi (ke-11) dan He Ji Ting-Ren Xiang Yu (ke-99).
Malaysia mara ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan B manakala China pula layak ke peringkat sama sebagai juara Kumpulan A.
Keputusan undian hari ini turut menyaksikan Malaysia berpeluang membalas dendam kepada China selepas tewas 1-3 pada aksi separuh akhir edisi 2024 di Chengdu, China.
Malaysia, juara lima kali memulakan kempen Piala Thomas kali ini dengan kemenangan tipis 3-2 ke atas England, diikuti kemenangan 4-1 ke atas Finland sebelum tewas 2-3 kepada Jepun.
Piala Thomas 2026 yang bermula 24 April lepas akan berlangsung hingga 3 Mei ini.-BERNAMA