
JOHOR BAHRU, 1 Mei – Sebatang rotan sepanjang 72 sentimeter dirampas, dipercayai digunakan dalam kejadian kekerasan terhadap seorang anggota tentera sehingga mangsa mengalami kecederaan parah termasuk retak tengkorak, di Kem Iskandar, Mersing, Johor.
- Mangsa 25 tahun mengalami retak tengkorak dan pendarahan dalam otak, sekarang dirawat di PPUM.
- Dua anggota tentera berusia 24 tahun ditahan pada 14 Mac bagi membantu siasatan.
- Siasatan selesai, kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor pada 28 April; disiasat mengikut Seksyen 326.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang disiasat sebagai kes menggunakan kekerasan jenayah.
Susulan itu, dua anggota tentera berusia 24 tahun ditahan pada 14 Mac lalu bagi membantu siasatan.
“Mangsa berusia 25 tahun dilaporkan mengalami retak pada tengkorak kepala serta pendarahan dalam otak dan kini sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
“Siasatan polis telah selesai dijalankan dan kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor pada 28 April lalu bagi mendapatkan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata atau benda berbahaya.